Jangkitan Kluster Teratai menular dalam komuniti

Kelihatan petugas kesihatan membuat pemeriksaan ke atas pekerja Top Glove sebelum membawa keluar seramai 300 pekerja Top Glove Corp Bhd baru-baru ini. - Foto Bernama
Kelihatan petugas kesihatan membuat pemeriksaan ke atas pekerja Top Glove sebelum membawa keluar seramai 300 pekerja Top Glove Corp Bhd baru-baru ini. - Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Jangkitan Kluster Teratai yang bermula daripada asrama pekerja kilang Top Glove di Klang kini telah menular dalam komuniti di luar kawasan tersebut.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesan sekurang-kurangnya 150 jangkitan dalam komuniti berkaitan kluster berkenaan.

"Kita lihat sekarang ini warga asing tinggal di asrama dan penginapan disediakan majikan tetapi ada 164 pekerja tempatan yang duduk di rumah masing-masing," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Penduduk di Jalan Teratai, Meru bimbang kes Covid-19 meningkat

Kluster Teratai terus sumbang peningkatan kes Covid-19

Covid-19: Tiada laporan jangkitan daripada sarung tangan

Covid-19: Kerajaan Pusat digesa henti operasi kilang Top Glove

Menurutnya, apabila pekerja tersebut dijangkiti Covid-19, ia telah menjangkiti ahli keluarga lain.

Artikel Berkaitan:

"Kita dapati sudah ada dua generasi jangkitan yang membabitkan ahli keluarga," katanya pada sidang akhbar perkembangan harian Covid-19 di sini hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, pihaknya telah memulakan saringan dalam komuniti untuk mengesan jangkitan tersebut.

"Kita menggunakan kita ujian pantas antigen (RTK-Ag) dalam kalangan penduduk di Meru, Klang," katanya.

Setakat ini, Kluster Teratai merekodkan sebanyak 5,083 kes positif Covid-19 daripada 6,609 individu yang disaring.

Terdahulu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meru, Mohd Fakhrulrazi Mohd Mokhtar memaklumkan bahawa seramai 11 penduduk Meru dijangkiti Covid-19.

Sementara itu, dalam perkembangan sama, Dr Noor Hisham berkata, pihaknya sedang mempertimbangkan pegawai perubatan dan pasukan kesihatan awam yang ditempatkan secara sementara di Sabah supaya kembali semula bertugas di Selangor dan Negeri Sembilan.

"Ada permohonan daripada Selangor dan Negeri Sembilan untuk kembalikan petugas mereka berikutan kes yang tinggi di kedua-dua negeri itu," katanya.

Menurutnya, KKM telah menggerakkan 59 pegawai perubatan dan 57 anggota kesihatan awam digerakkan secara dalaman ke lokasi yang memerlukan.

"Seramai 64 anggota kesihatan awam juga digerakkan dari negeri lain," katanya.

Tambahnya, KKM turut mendapat sokongan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) iaitu Imam Response & Relief Team (Imaret), Mercy Malaysia dan Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia.

"Antara tugas-tugas yang diarahkan adalah siasatan kes Covid-19, pengesanan kontak rapat dan pengambilan sampel di lapangan.

"Ini membantu KKM untuk mengoptimumkan sumber manusia kita sekali gus mempercepatkan saringan di lapangan," katanya.