Kes tembak PGA: Polis tubuh pasukan khas bawa balik suspek Thailand

Huzir
Huzir
A
A
A

KANGAR - Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan menubuhkan pasukan khas bagi membawa masuk tiga suspek lelaki warga Thailand yang terlibat dalam insiden berbalas tembakan membabitkan anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) dan penyeludup di sempadan Malaysia-Thailand pada 24 November lepas.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed berkata, ketiga-tiga suspek termasuk seorang yang dipercayai dalang utama kejadian tersebut amat diperlukan bagi meneruskan siasatan di Malaysia.

“Kita amat memerlukan ketiga-tiga suspek itu (warga Thailand) bagi mendapat maklumat lanjut berhubung insiden tersebut dan mereka dipercayai ditahan di Selatan Thailand,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

ARTIKEL BERKAITAN: Dalang utama, tiga lagi suspek kes tembak anggota PGA direman

Empat lagi suspek kes tembak PGA disambung reman

Anggota PGA maut ditembak di sempadan Malaysia-Thailand

Insiden tembak anggota PGA: Dua lagi warga Thailand ditahan

Dalam kejadian awal pagi 24 November, seorang anggota PGA, Sarjan Baharuddin Ramli, 54, terkorban manakala rakannya Sarjan Norihan a/l Tari, 39, cedera parah selepas berbalas tembakan dengan sekumpulan penyeludup, kira-kira 600 meter dari pos kawalan TS9 di Padang Besar.

Artikel Berkaitan:

"Kita akan berhubung dan melakukan perbincangan dengan Jabatan Peguam Negara, Kedutaan Malaysia di Bangkok serta Polis Diraja Thailand bagi meneruskan siasatan,” katanya.

Terdahulu, Huzir telah mengadakan pertemuan tertutup bersama Polis Kontinjen Perlis diketuai Ketua Polis Perlis Datuk Surina Saad bagi membincangkan perkara tersebut.

Beliau berkata sehingga kini, seramai 22 suspek telah ditahan oleh PDRM dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 dan 307 Kanun Keseksaan kerana membunuh serta cubaan membunuh.

Sementara itu, Ketua Polis Perlis, Datuk Surina Saad berkata 15 suspek warga tempatan yang ditahan sebelum ini akan diserahkan kepada polis kontinjen Kedah bagi membantu siasatan berhubung insiden tembakan anggota PGA di Bukit Kayu Hitam pada 25 Nov dan beberapa kes lain sebelum ini.

Sehari selepas insiden berbalas tembakan di Padang Besar, seorang anggota PGA yang sedang bertugas di Pos M16, Bukit Kayu Hitam cedera di perut selepas ditembak menggunakan senapang angin kira-kira 8 malam, tembakan itu dipercayai dilepaskan dari negara jiran. - Bernama