Punca banjir lumpur masih dalam siasatan

Anggota APM membersihkan masjid di Air Putih yang turut dipenuhi lumpur akibat banjir. -Foto: Ihsan APM
Anggota APM membersihkan masjid di Air Putih yang turut dipenuhi lumpur akibat banjir. -Foto: Ihsan APM
A
A
A

KUALA TERENGGANU – Punca banjir bersama lumpur tebal yang berlaku di Kampung Teladas, Air Putih, Kemaman dalam gelombang kedua bermula 24 November lalu belum dapat dipastikan.

Ketua Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana negeri, Leftenan Kolonel (PA) Che Adam A Rahman berkata, perkara itu masih dalam tindakan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) Kemaman.

Menurutnya, mengikut rekod banjir di sana sebelum ini tiada kesan lumpur yang banyak berlaku selepas banjir surut sepenuhnya.

“Banjir fasa dua di Kemaman agak serius kerana tiada jangkaan air naik dengan mendadak, kesan dari hujan lebat dan turut membawa lumpur.

“Tidak dapat dipastikan sama ada lumpur kesan daripada hakisan tanah tinggi atau bukit, pembalakan atau dari kilang kuari lama di sana.

"Masih dalam analisis dan tindakan JPBD Kemaman,” katanya dalam satu kenyataan di sini semalam.

Pasukan APM turun padang membantu membersihkan rumah penduduk di Air Putih yang dipenuhi lumpur selepas banjir surut. -Foto: Ihsan APM
Pasukan APM turun padang membantu membersihkan rumah penduduk di Air Putih yang dipenuhi lumpur selepas banjir surut. -Foto: Ihsan APM

Che Adam berkata, banjir lumpur itu memberi kesan kepada masjid, surau, tadika, balai raya dan hampir 200 penduduk Kampung Teladas yang mana lokasi itu dipenuhi lumpur tebal selepas air banjir surut.

Artikel Berkaitan:

Keadaan lumpur tebal menyukarkan penduduk membersihkan rumah masing-masing selepas pulang dari pusat pemindahan sementara, namun keresahan mereka terubat apabila lebih 150 sukarelawan Khidmat Malaysia Terengganu turun padang membantu.

Sementara itu, Che Adam berkata, selepas banjir gelombang kedua Terengganu pulih sepenuhnya hari ini dengan penutupan pusat pemindahan sementara (PPS) terakhir di Marang, pihaknya kini berada dalam ‘mood’ bersedia.

Katanya, Jabatan Meteorologi Malaysia mengeluarkan amaran hujan lebat peringkat kuning bermula semalam hingga hari ini di empat daerah di Terengganu iaitu Besut, Setiu, Kuala Nerus dan Kuala Terengganu.

“Pada tahun lepas, Terengganu mengalami empat gelombang banjir, jadi kita sentiasa berjaga-jaga dan akan lakukan yang terbaik dalam hulurkan bantuan kepada mangsa yang terjejas,” katanya.