Maduro tolak kata dua negara Eropah berhubung pilihan raya

Maduro tolak kata dua EU yang mendesak beliau mengadakan pilihan raya baharu di Venezuela. - Foto AFP
Maduro tolak kata dua EU yang mendesak beliau mengadakan pilihan raya baharu di Venezuela. - Foto AFP
A
A
A

CARACAS - VENEZUELA.Presiden Venezuela Nicolas Maduro menolak gesaan negara Eropah untuk menganjurkan pilihan raya selepas seterunya, yang juga pemimpin Perhimpunan Kebangsaan, Juan Guaido mengisytiharkan dirinya sebagai presiden interim negara berkenaan, bulan lalu.

Dalam temuramah bersama stesen televisyen Sepanyol, Sexta, Maduro menegaskan, beliau tidak akan tunduk kepada tekanan pihak yang mendesak peletakan jawatannya.

"Mereka cuba memberikan kata dua bagi memaksa negara kita berdepan konfrontasi.

"Venezuela telah mengadakan pilihan raya.Tiada sesiapa di dunia yang boleh mencemari perlembagaan negara ini dan mengenakan ultimatum," kata Maduro sambil meminta pihak luar agar tidak campur tangan dalam urusan dalaman Venezuela.

Terdahulu, Sepanyol, Perancis, Jerman, Britain, Belanda, Portugal dan Austria mengugut akan mengiktiraf Guaido sebagai presiden Venezuela yang sah sekiranya Maduro tidak mengadakan pilihan raya segera.

Guaido yang mendapat sokongan dari Amerika Syarikat (AS), Kanada, Australia dan beberapa negara Amerika Latin berkata, beliau akan melobi EU agar menghulurkan bantuan kemanusiaan kepada Venezuela yang dilanda krisis ekonomi sejak sekian lama.

Dalam pada itu, Maduro berkata terdapat kemungkinan perang dingin di Venezuela, dan ia bergantung kepada tahap 'keagresifan dan kegilaan' AS.

Bagaimanapun, Maduro menyokong mesyuarat melibatkan beberapa negara Amerika Latin dan EU di Montevideo, Khamis depan yang dijangka dapat mencetuskan dialog dalam kalangan rakyat Venezuela bagi menyelesaikan kemelut semasa yang semakin meruncing. - Press TV

Artikel Berkaitan: