JAKOA tidak terima laporan kes pedofilia

Gambar hiasan.
Gambar hiasan.
A
A
A

PUTRAJAYA - Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) memandang serius dakwaan terdapat kes pedofilia dalam kalangan masyarakat orang asli melibatkan sebuah perkampungan di Negeri Sembilan seperti disiarkan oleh akhbar tempatan hari ini.

Timbalan Menteri I Kementerian Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad berkata, jabatan itu tidak menerima sebarang laporan berhubung kes tersebut.

"Hasil siasatan pegawai JAKOA dua minggu lepas mendapati, tiada laporan dibuat oleh penduduk kampung berkenaan ketika Program Jiwa Murni dan Kesejahteraan Komuniti yang dianjurkan oleh LPPKN Negeri Sembilan pada tahun lalu," katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, JAKOA kesal apabila terdapat pihak yang mengeluarkan kenyataan tidak tepat dan mengelirukan.

"Ia telah menimbulkan persepsi negatif terhadap masyarakat orang asli serta agensi berkaitan," katanya.

Beliau berkata, JAKOA menerima pandangan mana-mana NGO dengan hati terbuka tetapi mengingatkan bahawa isu tersebut bukan etnik spesifik kepada orang asli sahaja kerana pedofilia adalah gangguan jiwa yang berlaku dalam mana-mana golongan masyarakat.

"NGO terbabit sewajarnya membuat kenyataan berlandaskan pembuktian kukuh bukan 'hearsay'," katanya.

Terdahulu akhbar tersebut yang memetik kenyataan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bahawa terdapat kes pedofilia di kalangan masyarakat orang asli di sebuah perkampungan di Negeri Sembilan.

Artikel Berkaitan:

Pertubuhan itu dikhabarkan menerima maklumat tersebut semasa menjalankan program di perkampungan berkenaan pada 29 Julai 2019.