X

Kindly register in order to view this article
!

Calon SPM 2020 Pahang dapat RM50

Wan Rosdy (dua, kiri) pada majlis penyerahan insentif pembelajaran secara talian bagi kepada calon SPM 2020 di Bilik Gerakan, Wisma Seri Pahang hari ini.
A
A

KUANTAN - Kerajaan Pahang memperuntukkan RM962,700 kepada 19,254 calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2020 sebagai insentif pembelajaran secara dalam talian susulan penutupan sekolah akibat penularan wabak Covid-19 di negara ini.

Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, insentif itu diberikan kepada semua calon SPM sebagai suntikan semangat dan tanda keikhlasan kerajaan terhadap kebajikan pelajar yang akan menduduki peperiksaan pada Februari tahun hadapan.

Menurutnya, agihan insentif itu melibatkan 11 daerah, 14 Parlimen, 42 Dewan Undangan Negeri (DUN) dan 214 sekolah di seluruh Pahang.

"Ini kali pertama Pahang memberikan insentif kepada calon SPM untuk pembelajaran dalam talian kerana mereka (pelajar) memerlukan kemudahan internet bagi tujuan itu.

"Jadi, setiap calon SPM akan menerima insentif sebanyak RM50 seorang dan perkara ini sebenarnya telah diumumkan dalam ucapan Belanjawan 2021 pada hari pertama persidangan DUN pertengahan November lalu," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas majlis penyerahan insentif pembelajaran secara dalam talian bagi calon SPM 2020 di Bilik Gerakan, Wisma Seri Pahang, hari ini.

Dalam pada itu, katanya, insentif itu dapat diagihkan kerana Kerajaan Pahang mempunyai kedudukan kewangan kukuh pada tahun ini.

"Bila ada kedudukan kewangan kukuh dan ada wang lebihan, kita belanjakan semula kepada rakyat dan intensif ini akan diteruskan pada masa akan datang.

"Kalau kita dapat kutipan lebih pada tahun 2021, sudah tentu ada penambahan insentif. Kalau kutipan kewangan mendatar seperti tahun ini jumlah agihannya tetap sama. Ini janji kerajaan Pahang, apa yang kita dapat kita akan serah balik kepada rakyat," katanya.

Sementara itu, Wan Rosdy berkata, kerajaan Pahang sedang menambah baik sistem telekomunikasi di negeri itu bagi memberi kemudahan kepada pembelajaran dalam talian.

"Sebanyak 191 menara akan ditambah baik pada tahun hadapan bagi membolehkan capaian 5G.

"Kita beri keutamaan kepada kawasan pedalaman yang capaiannya kurang terlebih dahulu," katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!