Tujuh ahli 'Geng Emas Putih' curi ekzos ditahan

Shahrul Lalli menunjukkan serpihan yang terdapat dalam tabung ekzos sebelum diproses menjadi emas putih ketika sidang media di Ibu Pejabat Kontinjen Polis (IPK) Melaka di Bukit Beruang di sini, hari ini.
Shahrul Lalli menunjukkan serpihan yang terdapat dalam tabung ekzos sebelum diproses menjadi emas putih ketika sidang media di Ibu Pejabat Kontinjen Polis (IPK) Melaka di Bukit Beruang di sini, hari ini.
A
A
A

MELAKA - Polis menahan tujuh individu termasuk seorang graduan Diploma Kejuruteraan Mekanikal dipercayai anggota 'Geng Emas Putih' yang aktif mencuri tabung ekzos kenderaan di negeri ini.

Timbalan Ketua Polis Melaka, Datuk Shahrul Lalli Masduki berkata, tangkapan ke atas lelaki berusia 19 hingga 42 tahun dilakukan dalam serbuan berasingan di sekitar daerah Melaka Tengah bermula 18 hingga 25 November lalu, manakala salah seorang daripada mereka bertindak sebagai pembeli.

Menurutnya, hasil risikan serta siasatan, Jabatan Siasatan Jenayah menemui sebanyak 65 tabung ekzos yang dicuri.

Sebahagian daripada 65 ekzos yang dicuri 'Geng Emas Putih.'
Sebahagian daripada 65 ekzos yang dicuri 'Geng Emas Putih.'

Katanya, polis mendapati 30 daripadanya dicuri sekitar negeri ini berdasarkan laporan polis diterima yang mana 35 masih lagi dalam siasatan.

"Siasatan mendapati tabung ekzos yang dicuri akan diproses untuk hasilkan emas putih dan proses ini dipercayai dilakukan di luar negara.

Serpihan dalam tabung ekzos yang dicuri yang akan diproses untuk menghasilkan emas putih.
Serpihan dalam tabung ekzos yang dicuri yang akan diproses untuk menghasilkan emas putih.

"Mereka akan jual kepada pembeli dan pembeli akan jual semula kepada orang ketiga untuk dileburkan bagi mendapatkan emas putih yang ada dalam tabung ekzos berkenaan," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Kontinjen Polis (IPK) Melaka di Bukit Beruang di sini hari ini.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, modus operandi kumpulan berkenaan menyasarkan kenderaan mempunyai kuasa besar seperti kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Naza Ria yang diletakkan di luar kawasan berpagar kediaman dan luar premis.

Menurutnya, tabung ekzos yang dijual boleh mencecah ribuan ringgit mengikut jenis kenderaan dan polis sedang menyiasat dalang sindiket terbabit.

"Kita juga sedang menyiasat sama ada sindiket ini mempunyai kaitan dengan kes di Gombak atau sebaliknya," katanya.

Beliau berkata, kesemua suspek direman sehingga esok dan kes disiasat Seksyen 379(A) Kanun Keseksaan.