Belanjawan 2021: Permulaan baik untuk golongan rentan

Ras Adiba Radzi - Foto Bernama
Ras Adiba Radzi - Foto Bernama
A
A
A
KUALA LUMPUR - Rang Undang-Undang Perbekalan 2021 (Belanjawan 2021) yang diluluskan di peringkat dasar baru-baru ini, disifatkan sebagai permulaan yang baik untuk golongan rentan, demi kebaikan mereka.

Pengerusi Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama), Senator Ras Adiba Radzi berkata, inisiatif Penjana Kerjaya contohnya, membuka lebih banyak peluang pekerjaan kepada golongan orang kurang upaya (OKU).

Beliau yang juga Ahli Dewan Negara yang mewakili golongan OKU berkata, selain mensasarkan satu peratus pengambilan OKU dalam sektor awam, kerajaan turut menggalakkan sektor swasta mengambil golongan berkenaan dalam syarikat mereka.

“Hasilnya, menerusi program ‘HireMalaysia’ di bawah Penjana, banyak syarikat swasta turut menawarkan peluang pekerjaan kepada OKU dan mendapat sambutan dalam kalangan OKU.

“Bagi syarikat swasta yang mengambil golongan OKU bekerja, majikan akan diberi insentif tambahan sebanyak 20 peratus, menjadikan keseluruhan insentif majikan berjumlah 60 peratus,” katanya dalam program Pesona XY bertajuk ‘Belanjawan 2021 Prihatin Golongan Rentan’ yang disiarkan di TV1 hari ini

Di bawah inisiatif itu, insentif untuk pekerja bergaji RM1,500 ke atas akan dinaikkan daripada kadar rata RM800 sebulan kepada 40 peratus daripada gaji bulanan, terhad kepada insentif maksimum RM4,000 sebulan.

Bagi menggalakkan peluang pekerjaan kepada golongan OKU, majikan akan diberi insentif tambahan sebanyak 20 peratus, menjadikan keseluruhan insentif majikan berjumlah 60 peratus.

Menurutnya, seramai 3,598 anggota OKU sedang berkhidmat dalam sektor awam dalam pelbagai bidang, bilangan itu merangkumi 0.28 peratus daripada keseluruhan perkhidmatan awam, setakat 21 Ogos.

“Dalam hal ini, Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) mengambil langkah hanya mengenakan syarat kelayakan minimum kepada calon OKU berdasarkan syarat lantikan ditetapkan dalam skim perkhidmatan,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, beliau juga turut menyentuh mengenai kempen mendaftarkan OKU perlu dipergiatkan, supaya tiada golongan berkenaan tercicir dan terpinggir dalam arus kemodenan negara.

“Kerajaan perlu turun ke padang supaya OKU dan ahli keluarga mereka dapat tampil untuk mendaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) kerana pendaftaran OKU di negara kira masih kurang dan bilangan OKU berdaftar setakat ini kira-kira 560,000 orang sahaja,” katanya.

Katanya, menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), 15 peratus daripada populasi sesebuah negara adalah dari komuniti OKU, bermakna OKU di negara ini adalah 4.7 juta orang.

Dalam Belanjawan 2021, kerajaan menaikkan bantuan bulanan OKU tidak berupaya bekerja dari RM250 ke RM300, kadar elaun pekerja OKU dari RM400 ke RM450, bantuan penjagaan OKU dari RM350 ke RM500, program khidmat bantu di rumah (RM400 maksimum untuk sukarelawan), RM5 pas perjalanan bulanan tanpa had, RM45 juta untuk memperkasa pendidikan khas, RM5,000 pelepasan cukai pasangan OKU serta inisiatif pengambilan pekerja OKU di bawah PenjanaKerjaya. - Bernama