Tiada kelibat di kedai kopi, lelaki ditemui meninggal

Anggota bomba memotong pintu jeriji sebelum menemui mayat lelaki berkenaan dalam keadaan terbaring.
Anggota bomba memotong pintu jeriji sebelum menemui mayat lelaki berkenaan dalam keadaan terbaring.
A
A
A

BUKIT MERTAJAM - Sikap prihatin seorang sahabat yang mencari rakannya setelah tidak datang ke kedai kopi selama beberapa hari membawa kepada penemuan mayat seorang lelaki dalam sebuah kediaman di Taman Impian Alma, di sini, malam tadi.

Mayat Seow Ching Yee,49, ditemui oleh pemilik rumah sewanya kira-kira jam 9.21 malam selepas tuan rumah berkenaan menerima panggilan daripada seorang jiran yang memberitahu bahawa ada orang mencari lelaki tersebut.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Shafee Abd Samad berkata, pemilik rumah berusia 50 tahun itu kemudian ke rumah mangsa untuk melakukan pemeriksaan dan mendapati pintu pagar luar rumah tidak berkunci tetapi pintu jeriji di bahagian dalam tidak boleh dibuka.

“Tuan rumah kemudian menolak pintu gelongsor yang tidak berkunci dan melihat air di lantai rumah serta terhidu bau yang kurang menyenangkan.

"Sepasukan anggota bomba bergegas ke tempat kejadian untuk membuka pintu jeriji yang berkunci dan pemeriksaan lanjut dilakukan telah menemui mayat lelaki berkenaan dalam keadaan terbaring," katanya ketika dihubungi hari ini.

Shafee berkata, berdasarkan maklumat tuan rumah itu, lelaki tersebut menyewa kediaman berkenaan sejak dua tahun lalu dan tinggal berseorangan.

Tambahnya, setakat ini penduduk berhampiran tidak mengetahui sama ada lelaki berkenaan mempunyai maklumat berhubung waris atau keluarga terdekatnya.

“Petugas perubatan yang berada di lokasi mengesahkan bahawa mangsa sudah meninggal dunia lebih tiga hari lalu. Pemeriksaan pada tubuh mangsa mendapati tiada sebarang unsur jenayah dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut," katanya.

Artikel Berkaitan:

Mayat mangsa dibawa ke Hospital Bukit Mertajam (HBM) untuk proses bedah siasat.