PKPD Taman Meru 2C, Ipoh dilanjut 7 hari lagi

Ismail Sabri
Ismail Sabri
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMASKINI] Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Zon B, Zon C Taman Meru 2C Ipoh, Perak dilanjutkan tujuh hari lagi mulai Jumaat ini hingga 10 Disember

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, lanjutan PKPD di lokaliti itu berikutan terdapat baki sampel ujian saringan Covid-19 yang belum mendapat keputusan.

"Kerajaan sebelum ini telah melaksanakan PKPD di kawasan itu bermula 20 November sehingga 3 Disember. KKM (Kementerian Kesihatan) melaksanakan sebanyak 1,793 saringan dan sebanyak 66 kes positif Covid-19 telah direkodkan di lokaliti tersebut.

"Berdasarkan nasihat dan penilaian risiko yang dilaksanakan oleh KKM, mesyuarat (Majlis Keselamatan Negara) hari ini bersetuju untuk melanjutkan PKPD di lokaliti tersebut," katanya pada sidang media harian perkembangan Perintah Kawalan Pergerakan di sini hari ini.

Dalam pada itu, Ismail Sabri turut mengumumkan penamatan PKPD Penjara Seberang Perai dan Kuarters Perumahan Penjara Seberang Perai, Pulau Pinang hari ini.

Beliau berkata sehingga kini, KKM telah melaksanakan 3,254 saringan dan secara kumulatif telah merekodkan 606 kes positif Covid-19.

“KKM mengesahkan kes positif terakhir yang dilaporkan adalah pada 29 November dan semua keputusan sampel ujian saringan telah pun diperoleh serta tiada lagi sampel yang masih menunggu keputusan,” katanya.

Sementara itu, Ismail Sabri berkata, PKPD di Pusat Tahanan Sementara (PTS) Tawau, Penjara Sandakan dan Kuarters Penjara Taman Wira, Sandakan akan tamat esok seperti dijadualkan.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata bagi PTS Tawau, KKM telah melaksanakan 2,613 saringan dengan 774 kes kumulatif positif Covid-19 direkodkan dan kes terakhir yang dilaporkan pada 30 November.

“Bagi Penjara Sandakan dan Kuarters Penjara Taman Wira, KKM telah membuat 1,809 ujian saringan dan sebanyak 799 jumlah kes kumulatif positif Covid-19 telah direkodkan,” katanya dan menjelaskan bahawa kes terakhir dilaporkan pada 27 November.

Ismail Sabri turut mengumumkan penamatan PKPD Kampung Nahaba dan Kampung Tegudon, Kota Belud, Sabah esok.

"Sehingga kini KKM mengesahkan kes positif di lokaliti ini menunjukkan trend penurunan dan terkawal. Berdasarkan nasihat dan penilaian risiko KKM, MKN setuju menamatkan PKPD di lokaliti terbabit seperti dijadualkan," katanya.

Dalam perkembangan lain, Ismail Sabri berkata, kerajaan menguatkuasakan Akta Standard Minimum Perumahan dan Kemudahan Pekerja 1990 (Akta 446), dengan mengambil tindakan terhadap majikan yang gagal menyediakan kemudahan perumahan seperti yang ditetapkan di bawah akta tersebut.

Beliau berkata, susulan pemeriksaan oleh Kementerian Sumber Manusia berhubung perkara itu, 21 kertas siasatan telah dibuka.

Selain itu, Ismail Sabri berkata, Polis Diraja Malaysia (PDRM) menahan 290 individu atas kesalahan ingkar arahan prosedur operasi standard (SOP) semalam. - Bernama