Tedung selar 4 meter tumpas

Ular tedung selar sepanjang hampir 4 meter ini akhirnya berjaya ditangkap.
Ular tedung selar sepanjang hampir 4 meter ini akhirnya berjaya ditangkap.
A
A
A

KUALA NERUS - Sejak seminggu lalu penduduk Darat Batu Rakit di sini, hidup dalam kebimbangan apabila seekor ular tedung selar sering ditemui berhampiran kawasan rumah mereka.

Kehadiran reptilia itu malam kelmarin sekali lagi menggemparkan apabila ia dilihat berada di atas jalan sebelum menjalar ke dalam longkang di hadapan rumah penduduk.

Mohd Hairi Muda, 42, yang bimbang keselamatan orang ramai di situ bertindak menghubungi talian kecemasan sebelum sepasukan anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) tiba.

“Saya dalam perjalanan balik ke rumah bersama anak yang baru habis mengaji. Kami terkejut melihat orang ramai memenuhi lokasi sebelum mengetahui ada ular tedung selar di kawasan itu.

“Keadaan itu dilihat mampu membahayakan mereka lalu saya terus hubungi seorang rakan sebelum dia mencadangkan saya terus hubungi 999,” katanya.

Sementara itu, Pegawai APM Kuala Terengganu, Kapten (PA) Ahmad Kamal Hakim Ngah berkata, pihaknya menerima panggilan jam 8.50 malam sebelum menghantar empat anggota ke lokasi.

Menurutnya, anggota APM yang ditugaskan ke lokasi mengambil masa lebih 30 minit untuk mengeluarkan ular berbisa itu dari longkang, seterusnya ditangkap dengan menggunakan peralatan khas.

“Ini adalah tangkapan ular tedung selar paling besar pada tahun ini dan kita menghargai kerjasama orang awam yang menghubungi pihak berkuasa kerana reptilia itu mampu meragut nyawa.

Artikel Berkaitan:

"Paling utama kebimbangan penduduk berakhir apabila reptilia sepanjang hampir 4 meter itu berjaya ditangkap anggota APM ," katanya.

Terdahulu, tedung selar itu dibawa ke Pejabat APM Kuala Terengganu di Gong Badak untuk ditempatkan di dalam kurungan dan akan diserahkan kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) untuk tindakan selanjutnya.