Kerani didakwa pukul kepala isteri hingga cedera

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Seorang kerani didakwa di Mahkamah Majistret Selayang di sini hari ini atas tuduhan sengaja menyebabkan kecederaan ke atas isterinya dengan memukul belakang kepala wanita itu bulan lepas.

Nazli Syam Idris Ali, 46, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret Nik Mohd Fadli Nik Azlan.

Bapa anak lima itu didakwa melakukan perbuatan tersebut terhadap Nurul Aini Yusoff, 41, di sebuah rumah di Taman Ombak Permai, Gombak di sini pada 7 malam, 27 November lepas.

Dia didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum setahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya dan tertuduh juga boleh dihukum di bawah Seksyen 326A kanun sama yang membawa hukuman penjara sehingga dua tahun jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Nur Intan Syakieraah Zakaria tidak menawarkan jaminan terhadap tertuduh kerana mangsa adalah isterinya.

Peguam Azman Abdullah yang mewakili tertuduh bagaimanapun memohon mahkamah membenarkan anak guamnya diikat jamin atas alasan tertuduh bekerja sebagai kerani dengan pendapatan sebulan antara RM2,000 dan RM2,500, serta mempunyai lima anak berumur antara tiga hingga 15 tahun.

Nik Mohd Fadli kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM3,500 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan bahawa dia dilarang mengganggu mangsa dan menetapkan 26 Januari tahun depan untuk sebutan semula kes.

Di mahkamah sama, penganggur, Mohd Adham Abu Bakar, 34, juga mengaku tidak bersalah sengaja mendatangkan kecederaan ke atas isterinya Nor Adhariah Idris, 36, di sebuah rumah di Batu Caves, Gombak pada 9.30 pagi, 28 November lepas.

Artikel Berkaitan:

Mahkamah membenarkan tertuduh yang tidak diwakili peguam diikat jamin RM3,500 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan bahawa tertuduh dilarang mengganggu mangsa dan menetapkan 26 Januari tahun depan untuk sebutan semula kes. - Bernama