12 anak nelayan perintis PBB SWART

Kelihatan anggota PBB SWART membuat pemantauan di Pantai Tanjung Gelam, Kuala Nerus.
Kelihatan anggota PBB SWART membuat pemantauan di Pantai Tanjung Gelam, Kuala Nerus.
A
A
A

KUALA NERUS - Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) telah melantik 12 individu daripada kalangan keluarga nelayan menjadi Pegawai Bomba Bantuan (PBB) Safety Waters and Rescue Team (SWART) sekali gus menjadi anggota perintis pasukan itu di negeri ini.

Pengarah JBPM Terengganu, Md Hilman Abd Rashid berkata, antara fungsi pasukan khas itu adalah sebagai barisan hadapan khususnya dalam mengurangkan kes mangsa lemas di kawasan berisiko terutama pada musim tengkujuh.

Menurutnya, antara kepakaran yang dimiliki anggota PBB SWART itu adalah menyelamat di air sekali gus dapat membantu pihak bomba dalam bertindak lebih awal menyelamatkan mangsa lemas di lokasi berisiko.

"Setakat ini, enam PBB SWART ditempatkan di pantai sekitar Kuala Nerus, manakala baki enam lagi di Dungun, yang mana antara tugas utama mereka adalah membuat rondaan dan pemantauan berterusan sepanjang musim tengkujuh yang bermula dari bulan ini hingga Mac 2021.

"Mereka akan bertugas secara giliran mengikut shif di pantai yang telah kita kenal pasti. Selain pemantauan, mereka juga akan menasihati penduduk dan pengunjung yang berada di pantai sebagai peringatan bagi mengelakkan kejadian yang tidak diingini," katanya selepas membuat pemantauan di Pantai Tanjung Gelam di sini.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamarudin telah melancarkan pasukan perintis PBB SWART secara maya baru-baru ini dengan kumpulan pertama seramai 23 anggota telah menjalani latihan intensif di Akademi Bomba dan Penyelamat Wilayah Timur di Wakaf Tapai, Marang.

Sementara itu, Mohd Amirul Amin Mat Shafie, 19, yang menganggotai pasukan PBB SWART itu berkata, beliau berasa bertuah kerana terpilih dan bersedia untuk menyumbang kepakaran dan kemahiran yang ada apabila diperlukan.

Beliau yang juga anak nelayan berkata, beliau sering mengikuti ayahnya ke laut dan mempunyai kemahiran asas berenang dan bertahan semasa situasi kecemasan.

Artikel Berkaitan:

Mohd Ibbat Nasrullah Mohd Adnan, Mohd Amirul Amin Mat Shafie
Mohd Ibbat Nasrullah Mohd Adnan, Mohd Amirul Amin Mat Shafie

"Insya-ALLAH sekiranya berlaku situasi cemas atau lemas, saya dan rakan yang lain akan cuba bantu berikan pertolongan awal dengan kemahiran dan latihan intensif yang diterima daripada bomba.

"Saya seronok apabila terpilih menjadi salah seorang perintis PBB SWART kerana selain dapat menambah pendapatan semasa musim tengkujuh ini, ia juga menjadi jambatan untuk saya merealisasikan impian untuk menjadi pegawai bomba," katanya.

Rakannya, Mohd Ibbat Nasrullah Mohd Adnan, 22, berkata, antara latihan intensif yang diterimanya sepanjang kursus di akademi bomba ialah cara-cara berenang dan teknik menyelamatkan orang dengan betul.

"Saya berharap dengan ilmu yang diperoleh sepanjang kursus itu dapat membantu saya dan rakan-rakan memberikan perkhidmatan yang terbaik terutamanya jika berlaku kecemasan," katanya.