Bilal meninggal dunia di masjid ketika azan Subuh

Allahyarham Ahmad Bahtin Khalid (gambar kecil) dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bagan Pinang, Port Dickson hari ini.
Allahyarham Ahmad Bahtin Khalid (gambar kecil) dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bagan Pinang, Port Dickson hari ini.
A
A
A

PORT DICKSON - Seorang bilal Masjid Kampung Baru Si Rusa di sini rebah dan meninggal dunia di masjid berkenaan ketika azan subuh berkumandang pagi tadi.

Ahmad Bahtin Khalid, 77, yang merupakan bilal dua masjid terbabit rebah ketika membetulkan sejadah.

Seorang jemaah masjid, Hashim Kamarudin, 57, berkata, kejadian itu mengejutkan seramai 20 jemaah yang hadir untuk menunaikan solat Subuh.

"Biasanya arwah yang akan laungkan azan. Tapi hari ini dia lambat sikit mungkin disebabkan hujan. Jadi siak ambil peranan untuk laungkan azan.

"Bila arwah sampai ke dalam masjid, dia terus membetulkan sejadah di bahagian saf hadapan dan tiba-tiba terus rebah ketika azan masih berkumandang," katanya kepada Sinar Harian di sini hari ini.

Hashim Kamarudin
Hashim Kamarudin

Hashim berkata, dia memangku Allahyarham ketika rebah dan sempat mengajarnya mengucap sebelum menghembuskan nafas terakhir dalam keadaan tenang.

Menurutnya, ahli jawatankuasa masjid kemudian menghubungi ambulans dan pegawai perubatan yang datang mengesahkan Allahyarham telah meninggal dunia.

Artikel Berkaitan:

"Arwah ini memang sangat baik orangnya, sentiasa senyum dan tidak banyak bercakap. Memang sangat disenangi.

"Dia bukan saja berada di masjid pada waktu Subuh, tapi setiap waktu. Hari ini, dia nazak ketika azan dilaungkan sebelum meninggal dunia.

"Sepanjang usia saya 57 tahun, tak pernah lagi saya tengok orang meninggal senang seperti arwah. Cara kematiannya sangat dicemburui," katanya.

Sementara itu, Pengerusi Masjid Kampung Baru Si Rusa, Tusiran Pesan berkata, Allahyarham Ahmad Bahtin mula menjadi bilal pada sejak tahun 1980-an dan menjalankan tanggungjawab dengan baik.

Menurutnya, Allahyarham meninggalkan seorang balu berusia 68 tahun dan dua anak berusia 40-an dan jenazah dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bagan Pinang di sini hari ini.