Amaran cuaca waspada, hujan lebat di beberapa negeri

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) hari ini mengeluarkan amaran cuaca waspada peringkat kuning dengan hujan lebat dijangka di beberapa negeri sehingga esok.

MetMalaysia dalam kenyataan memaklumkan negeri terlibat ialah Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Perak (Hulu Perak), Kelantan (Tumpat, Pasir Mas, Kota Bharu, Jeli, Tanah Merah, Bachok, Machang, Pasir Puteh dan Kuala Krai) dan Terengganu (Besut, Setiu, Kuala Nerus dan Kuala Terengganu).

Kenyataan itu turut memberitahu hujan lebat dijangka di Terengganu (Hulu Terengganu, Marang, Dungun dan Kemaman); serta Pahang (Jerantut, Temerloh, Maran, Kuantan, Bera, Pekan dan Rompin), bermula esok hingga Sabtu ini, 5 Disember.

Sementara itu, ribut petir dan hujan lebat serta angin kencang juga dijangka melibatkan kebanyakan negeri di pantai barat Semenanjung pada waktu petang sehingga awal malam dalam tempoh berkenaan.

Negeri yang terlibat ialah Perak, Selangor, Kuala Lumpur, Labuan, Negeri Sembilan, Melaka, Johor dan pedalaman Pahang serta barat Sabah dan Sarawak.

Kenyataan itu menyebut keadaan itu boleh menyebabkan banjir kilat di kawasan rendah serta kerosakan kepada struktur yang tidak kukuh.

“Angin kencang timur laut berkelajuan 50 hingga 60km/jam dengan ombak mencapai 4.5 meter boleh berlaku di perairan Kelantan, Terengganu dan Pahang dalam tempoh itu.

“Keadaan ini boleh mendatangkan risiko limpahan air laut di pesisir pantai dan muara sungai kawasan terbabit,” menurut kenyataan jabatan itu. - Bernama

Artikel Berkaitan: