Gagal lapor rasuah, 5 staf Kementerian Kewangan didenda

Lima kakitangan Kementerian Kewangan Malaysia yang didenda RM1,500 dan RM2,000 di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini.
Lima kakitangan Kementerian Kewangan Malaysia yang didenda RM1,500 dan RM2,000 di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini.
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMASKINI] Lima kakitangan Kementerian Kewangan Malaysia didenda RM1,500 dan RM2,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan gagal melaporkan kesalahan sogokan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sejak dua tahun lalu.

Tertuduh, Nurul Ashikin Zulkaflee, 33, Azad Fadhmi Abdul Rahman, 34, dan Madiyana Mamat, 39, didenda RM1,500 manakala dua yang lain iaitu Siti Nurkhairunnisa Adnan, 32, dan Mohd Fairus Hussin, 38, didenda RM2,000 selepas mengaku bersalah atas pertuduhan yang dibaca berasingan di hadapan Hakim Manira Mohd Noor.

Mahkamah turut memerintahkan mereka dipenjara tiga bulan sekiranya gagal membayar jumlah denda itu, bagaimanapun kesemuanya membayar denda tersebut.

Mengikut pertuduhan, mereka didakwa telah ditawarkan suapan RM200 hingga RM600 bagi mempercepatkan proses dan permohonan baharu taraf bumiputera lima buah syarikat melalui sistem e-Perolehan.

Kesemua mereka didapati melanggar peruntukan Akta SPRM 2009 (Akta 694) untuk menggalakkan integriti dan pentadbiran sektor awam serta gagal melaporkan kesalahan sogokan kepada SPRM.

Kejadian didakwa dilakukan di Unit Pendaftaran Syarikat, Bahagian Perolehan Kerajaan di Kementerian Kewangan, Putrajaya antara Mei 2018 dan Jun 2020.

Ketika kejadian, Nurul Asyikin bertugas sebagai Pembantu Tadbir (Kewangan), manakala Siti Nurkhairunnisa, Madiyana dan Azad Fadhmi sebagai Penolong Akauntan, selain Mohd Fairus sebagai Penolong Pegawai Tadbir di Unit Pendaftaran Syarikat Bahagian Perolehan Kerajaan di Kementerian Kewangan, Putrajaya.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 25(1) Akta SPRM 2009 (Akta 694) dan boleh dihukum mengikut Seksyen 25(2) akta sama yang membawa hukuman maksimum RM100,000 atau penjara maksimum 10 tahun atau kedua-duanya.

Artikel Berkaitan:

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Wan Shaharudin Wan Ladin yang mengendalikan kes berkenaan berkata, SPRM tidak boleh bergerak sendirian tanpa bantuan masyarakat.

“Sepatutnya jika ditawarkan wang rasuah, mereka perlu melaporkannya kepada pihak berkuasa, namun kesemua mereka gagal berbuat demikian," katanya.

Bagaimanapun, peguam, Mohd Shahrullah Khan Nawab Zadah Khan dan Muhamad Aizat Fakri yang mewakili kesemua tertuduh merayu agar anak guam mereka dikenakan hukuman denda yang minimum.

Mohd Shahrullah Khan memohon agar mahkamah mengenakan denda tidak lebih emolumen (gaji) sebulan tanpa dikenakan hukuman penjara kerana dibimbangi akan menyebabkan mereka hilang pekerjaan.