X

Kindly register in order to view this article
!

ADUN Meru gesa Top Glove tutup semua kilang

Mohd Fakhrulrazi melawat lokasi saringan komuniti bersasar di Dewan Masyarakat Taman Meru 3, Klang hari ini.
A
A

KLANG - Syarikat pembuat sarung tangan getah terbesar dunia, Top Glove di sini digesa menutup kesemua 28 kilang mereka dengan segera bagi membendung penularan wabak Covid-19 di kawasan berkenaan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meru, Mohd Fakhrulrazi Mohd Mokhtar berkata, penutupan sepenuhnya perlu dilakukan bagi memutuskan rantaian Covid-19 yang berpunca daripada pekerja di kilang terbabit.

Difahamkan, setakat hari ini hanya 20 kilang syarikat berkenaan sudah ditutup untuk membolehkan pekerjanya disaring dan melalui proses kuarantin, manakala bakinya masih beroperasi dan dikatakan akan ditutup secara berperingkat.

"Penutupan kilang secara total perlu dilakukan buat sementara waktu sebab kita tak tahu siapa yang dijangkiti. Mungkin terdapat warga tempatan yang bekerja di Top Glove turut dijangkiti dan berisiko merebak.

"Oleh itu, saya mengharapkan kesemua kilang ditutup segera buat sementara waktu, mungkin dalam tempoh dua minggu untuk pastikan wabak ini tak merebak," katanya ketika melawat lokasi saringan komuniti bersasar di Dewan Masyarakat Taman Meru 3 di sini hari ini.

Mohd Fakhrulrazi berkata, pengurusan Top Glove juga dilihat masih belum mengawal sepenuhnya kakitangan mereka.

"Saya nak tegur pihak pengurusan Top Glove, saya rasa masih belum berjaya mengawal sepenuhnya kakitangan mereka daripada keluar atau merayau-rayau di kawasan Meru.

"Boleh tengok dalam Facebook saya, bagaimana rakaman video yang mana menunjukkan kakitangan Top Glove ini boleh sesuka hati panjat asrama dan sebagainya untuk keluar daripada kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD). Saya harap ada tindakan tegas yang dibuat supaya penularan wabak ini dapat disekat," katanya.

Sebelum ini, kerajaan mengumumkan pelaksanaan PKPD di asrama pekerja Top Glove bermula 17 November lalu sehingga esok.

Ia melibatkan 13,190 pekerja kilang itu yang menginap di asrama pekerja lelaki dan wanita serta hampir 1,200 penduduk di Jalan Abadi 1A/8, Jalan Abadi 1A dan Jalan Abadi 10A/KU8.

Terdahulu, beberapa syarikat termasuk Top Glove turut berdepan dengan 63 pertuduhan di mahkamah.

Ia berikutan syarikat berkenaan melanggar Akta Standard Minimum Perumahan dan Kemudahan Pekerja (Pindaan) 2019 (Akta 446) yang dikuatkuasakan sejak September lalu.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!