Jawatan TPM: Fokus pulih negara dahulu

Mohd Yussof Latiff
Mohd Yussof Latiff
A
A
A

GEORGETOWN - Isu jawatan Timbalan Perdana Menteri (TPM) tidak perlu diberi keutamaan ketika ini bagi mengelak berlaku pergolakan politik terutamanya ketika negara sedang berhadapan dengan penularan wabak Covid-19.

Veteran UMNO, Tan Sri Mohd Yussof Latiff berkata, kepemimpinan UMNO wajar melupakan seketika isu jawatan tersebut pada waktu ini kerana ia bukan masa yang sesuai.

Menurutnya, pada waktu ini, tumpuan perlu diberikan untuk pemulihan ekonomi rakyat dan bukannya untuk merebut jawatan TPM.

"Jika diikutkan, jawatan TPM tiada dalam Perlembagaan. Oleh itu, dengan isu yang dihadapi pada waktu ini (Covid-19), saya rasa lebih elok lupakan dahulu (jawatan TPM). Ini kerana Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin ada pandangan beliau sendiri malah sekarang ini juga kita telah ada Menteri-menteri Kanan.

"Sepatutnya kita bina kembali ekonomi negara dan atasi Covid-19, jangan rebut jawatan TPM kerana ia akan jejaskan kerajaan sedia ada. Fokus dengan masalah yang dihadapi sekarang dahulu," katanya kepada media ketika ditemui di pejabatnya di sini hari ini.

Mohd Yussof berkata, jawatan TPM adalah kuasa mutlak Perdana Menteri dalam memilih calon yang sesuai untuk berganding dengannya bagi memimpin negara.

"Sebenarnya jawatan TPM ialah satu tradisi yang dimulakan Almarhum Tunku Abdul Rahman.

"Hak untuk melantik TPM juga adalah di tangan Perdana Menteri supaya beliau mempunyai timbalan yang sesuai untuk mengimbangi tugas-tugas mentadbir negara," katanya.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, beliau berkata, pada masa ini kepemimpinan UMNO perlu melakukan pembersihan parti supaya diterima kembali golongan muda.

"UMNO perlu dibina kembali bersama-sama dengan parti-parti komponen seperti MCA supaya rakyat yakin kembali dengan mereka.

"Saya yakin jika perkara ini dilakukan Pilihan Raya Umum Ke-15 nanti UMNO akan diterima baik oleh rakyat dan ketika itu jika UMNO mendapat mandat baharu disebut mengenai jawatan TPM," katanya.

Terdahulu, Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menyatakan bahawa isu jawatan TPM untuk diisi pemimpin UMNO akan dibangkitkan semula sebaik Belanjawan 2021 yang sedang dibahaskan di Parlimen selesai.

Ismail Sabri berkata, perkara itu tidak pernah didiamkan kerana UMNO pemilik kerusi terbesar dalam kerajaan ketika ini selain tidak ada pemimpin UMNO diberikan jawatan tertinggi dalam Kabinet melainkan satu daripada empat jawatan menteri kanan yang disandang beliau.

Bagaimanapun, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi meminta pemimpin dan ahli UMNO tidak mendesak Perdana Menteri untuk mewujudkan semula jawatan TPM dengan memberikan kuota berkenaan kepada parti itu.