X

Kindly register in order to view this article
!

Kastam bongkar stor penyimpanan minuman keras

Ketua Pengarah Kastam Datuk Seri Abdul Latif Abdul Kadir (tengah) menunjukkan bir seludup pada sidang media kejayaan mematahkan empat aktiviti pengedaran bir seludup di Ibu Pejabat Jabatan Kastam Diraja Malaysia hari ini. - Foto Bernama
A
A

PUTRAJAYA - Penahanan dua buah lori bermuatan minuman keras tidak bercukai oleh Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) pada 24 November lepas membawa kepada pembongkaran sindiket pengedaran minuman keras seludup yang menjadikan sebuah stor di Balakong, Selangor sebagai lokasi penyimpanan.

Dalam operasi bermula jam 3 petang itu, Unit Siasatan Frod Perdagangan (USFP) JKDM dengan kerjasama Cawangan Narkotik JKDM telah menahan sebuah lori satu tan di kawasan Balakong kerana disyaki membawa minuman keras seludup.

Ketua Pengarah Kastam Datuk Seri Abdul Latif Abdul Kadir berkata, pemeriksaan terhadap lori berkenaan menemukan 1,920 botol minuman keras dianggarkan bernilai RM13,000 manakala duti serta cukai terlibat ialah RM14,000 yang membawa kepada penahanan pemandu dan kelindan lori untuk siasatan lanjut.

Kira-kira setengah jam kemudian, sebuah lagi lori satu tan ditahan berhampiran lokasi tersebut yang membawa kepada penemuan 3,528 botol minuman keras bernilai kira-kira RM8,000 dengan jumlah duti dan cukai terlibat sebanyak RM21,000, serta penahanan pemandu dan kelindan lori terlibat, katanya.

Hasil soal siasat, sebuah stor di kawasan itu diserbu pada 5 petang dan menemui 27,000 tin minuman keras pelbagai jenama dianggarkan bernilai RM79,000, dengan duti dan cukai terlibat dianggarkan bernilai RM346,000, katanya.

"Tiada tangkapan di stor ini. Siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti pemilik stor," katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Pada hari sama juga, Abdul Latif berkata, pihaknya menemukan 4,800 tin minuman keras yang dianggarkan bernilai RM10,000 dengan duti dan cukai terlibat berjumlah RM67,000, di bahagian belakang sebuah van yang ditinggalkan di kawasan Seri Kembangan pada 12 tengah hari.

Seorang lelaki yang mengaku sebagai pemilik van telah ditahan, katanya.

Abdul Latif berkata, nilai kesemua minuman keras yang dirampas dalam operasi pada hari tersebut ialah RM110,000 manakala duti dan cukai terlibat berjumlah RM448,000.

"Tiga kenderaan dianggarkan RM150,000 telah disita dan kesemua lima lelaki yang ditahan telah dilepaskan dengan jaminan," katanya menambah, kes disiasat mengikut Seksyen 135 (1)(d) Akta Kastam 1967.

Dalam pada itu, Abdul Latif berkata, pihaknya sedang memburu sindiket yang membawa masuk, mengeluarkan serta memasarkan rokok seludup dalam pek lima batang di negara ini dengan menyasarkan golongan remaja sebagai pelanggan.

Siasatan awal mendapati modus operandi sindiket membungkus semula rokok dalam jumlah yang kecil bertujuan memudahkan mereka menjual kepada pelanggan, katanya.

"Kebiasaan dalam sekotak rokok ada 20 batang... mereka ini 'pack' semula dalam jumlah kecil untuk dijual dan setakat ini terdapat satu kes dikesan di Melaka namun jumlah rampasan tidak besar," katanya.

Semalam, media tempatan melaporkan kartel rokok seludup kini semakin agresif mengeluarkan serta memasarkan rokok dalam pek lima batang (Kiddie Pack) pada harga serendah bawah RM2 sekotak dengan menyasarkan golongan remaja dan B40.

- Bernama


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!