X

Kindly register in order to view this article
!

Dua suspek menyamar anggota polis, samun warga asing diberkas

Shamsul Amar
A
A

KLANG - Dua lelaki ditahan kerana menyamar sebagai anggota polis sewaktu menyamun seorang lelaki warga Pakistan serta rakannya di hadapan sebuah pasar raya di Jalan Langat di sini, Ahad lalu.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Shamsul Amar Ramli berkata, kedua-dua suspek berusia 39 tahun itu diberkas secara berasingan di Bayu Perdana dan Pelabuhan Klang.

"Kita menahan seorang lelaki di sebuah apartmen di Pandamaran di sini pada jam 9 malam, kelmarin.

"Hasil semakan mendapati suspek ada empat rekod jenayah lampau berkaitan kes dadah," katanya ketika dihubungi Sinar Harian hari ini.

Shamsul Amar berkata, pihaknya turut merampas sebuah motosikal, satu objek menyerupai pistol, sepasang kasut, satu seluar jeans, baju, beg silang dan topi keledar.

"Bertindak atas maklumat, kita memberkas pula seorang lelaki di sebuah pangsapuri di Pelabuhan Klang pada jam 12.50 tengah hari, semalam," katanya.

Beliau berkata, dalam kejadian pada jam 6.30 petang itu, mangsa bersama rakannya telah disamun oleh tiga lelaki yang menyamar sebagai anggota polis.

"Suspek bersenjatakan objek menyerupai pistol dan gari serta menunggang dua motosikal.

"Modus operandi kumpulan penjenayah yang aktif sejak bulan lalu ini adalah menyamun mangsa warga asing," katanya.

Tambah Shamsul Amar, pihaknya kini sedang mengesan seorang lagi suspek yang masih bebas dikenali sebagai Siva Botak.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 384 dan 170 Kanun Keseksaan.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!