X

Kindly register in order to view this article
!

Rabu | 20 Oktober 2021

PKS layak mohon pembiayaan modal kerja sehingga RM500,000

Bank Negara Malaysia.
A
A

SHAH ALAM - Perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang layak boleh mendapatkan pembiayaan bagi tujuan modal kerja sehingga RM500,000 untuk tempoh sehingga tujuh tahun termasuk moratorium minimum enam bulan.

Bank Negara Malaysia (BNM) dalam satu kenyatan menjelaskan, bantuan tersebut terdapat dalam dana Kemudahan Bantuan dan Pemulihan Bersasar (TRRF) disediakan sebagai dana tambahan bagi membantu PKS di negara ini yang terjejas akibat Covid-19.

Selain TRRF, BNM turut menawarkan Kemudahan Perusahaan Mikro (MEF) seperti diumumkan dalam Belanjawan 2021 oleh Menteri Kewangan, Senator Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz baru-baru ini.

“Kemudahan ini ditawarkan pada kadar sehingga 3.5 peratus setahun dan boleh diperoleh melalui 21 institusi kewangan peserta dengan perlindungan jaminan oleh Syarikat Jaminan Pembiayaan Perniagaan (SJPP) atau Credit Guarantee Corporation (CGC),” kata kenyataan tersebut hari ini.

Menurut kenyataan itu, kemudahan itu tersedia sehingga 31 Disember 2021 atau setelah peruntukan digunakan sepenuhnya.

Bagaimanapun BNM berkata, PKS yang juga penerima Kemudahan Bantuan Khas (SRF), Pembiayaan Pelancongan Penjana (PTF) dan Pembiayaan PKS Penjana (PSF) tidak layak memohon TRRF.

“Bagi PKS dalam subsektor perkhidmatan pelancongan dan perkhidmatan berkaitan pelancongan, bantuan terus tersedia di bawah PTF,” katanya.

Sementara itu, BNM berkata, melalui dana kedua iaitu kemudahan MEF, jumlah peruntukan ditambah nilainya daripada RM300 juta kepada RM410 juta dengan baki peruntukan yang tersedia sebanyak RM200 juta.

“Kemudahan MEF ini ditambah baik untuk meningkatkan akses perusahaan mikro kepada kredit merangkumi individu bekerja sendiri, pekerja sambilan menggunakan platform digital dan peserta program iTEKAD.

“Perusahaan mikro yang layak boleh mendapatkan pembiayaan untuk tujuan modal kerja dan perbelanjaan modal sehingga RM50,000. Kadar pembiayaan akan ditetapkan institusi kewangan peserta.

"Untuk kemudahan ini, institusi kewangan peserta juga boleh mendapatkan perlindungan jaminan daripada CGC atau SJPP,” katanya.

BNM berkata, untuk memohon TRRF, PKS yang berminat boleh memohon terus kepada institusi kewangan peserta terdiri daripada bank-bank perdagangan, bank-bank Islam dan institusi kewangan pembangunan dikawal selia BNM menerusi laman sesawang mereka atau dengan melawati cawangan-cawangan institusi kewangan peserta.

“Bagi MEF, perusahaan mikro yang berminat boleh memohon terus kepada institusi kewangan peserta di bawah Skim Pembiayaan Mikro,” katanya.

BNM berkata, butiran mengenai Kemudahan Teknologi Tinggi (HTF) akan dimumkan pada 15 Disember ini.

"Orang ramai boleh menghubungi BNMTELELINK bagi mendapatkan khidmat nasihat dan bantuan penyelesaian untuk sebarang isu yang mungkin dihadapi dengan bank mereka pada waktu yang mencabar ini melalui [email protected] atau talian 1-300-88-5465.

"Maklumat lanjut mengenai ciri-ciri kemudahan pembiayaan yang dinyatakan di atas terkandung di lampiran 1, 2 dan 3 dan boleh didapati di www.bnm.gov.my/covid19/," katanya.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!