TIdak wajar Exco tukar kereta

Muhamad Danish bersama pemuda PH yang membuat bantaham secara aman di hadapan Kompleks Seri Negeri, Ayer Keroh hari ini.
Muhamad Danish bersama pemuda PH yang membuat bantaham secara aman di hadapan Kompleks Seri Negeri, Ayer Keroh hari ini.
A
A
A

MELAKA TENGAH - Pemuda Pakatan Harapan Melaka menuntut penjelasan kerajaan negeri berhubung pembelian kereta baharu Toyota Camry untuk kegunaan Exco kerajaan negeri yang disifatkan tidak wajar.

Ketua Pemuda Sosialis DAP (DAPSY) Kota Melaka, Muhamad Danish Zainudin berkata, sekiranya benar, tindakan itu tidak patut berlaku ketika rakyat berdepan kesulitan pandemik Covid-19.

Menurutnya, mengutamakan kepentingan rakyat lebih penting ketika ini daripada pembelian kenderaan rasmi terbabit.

"Berdasarkan maklum balas daripada barisan Exco ketika pemerintahan PH, kereta Honda Accord masih boleh digunakan kerana berada dalam keadaan baik malah tiada alasan untuk menggantikannya dengan kenderaan baharu.

"Kita minta Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md Ali memberi penjelasan mengenai perkara itu," katanya pada sidang media selepas mengadakan bantahan aman di hadapan Kompleks Seri Negeri, Ayer Keroh di sini hari ini.

Sementara itu, Ahli Jawatankuasa Pemuda Amanah negeri, Muhd Haziq Norizan berkata, pembelian kenderaan baharu itu sebagai satu pembaziran dan seolah-olah tidak meletakkan keperluan rakyat sebagai perkara utama.

"Harap kerajaan negeri dapat berbelanja dengan berhemah dan meletakkan kepentingan rakyat. Kita juga menanti apakah ‘wow factor’ yang akan dibentangkan dalam belanjawan negeri minggu hadapan," katanya.

Difahamkan, sebanyak 12 buah kereta Toyota Camry kini digunakan barisan Exco kerajaan negeri menggantikan Honda Accord sedia ada.

Artikel Berkaitan:

Pada 17 Oktober lalu, Sinar Harian menyiarkan Pengerusi Pakatan Harapan Melaka, Adly Zahari menafikan dakwaan netizen di Facebook bahawa pembelian kereta baharu Ketua Menteri dibuat ketika beliau memegang jawatan itu.

ARTIKEL BERKAITAN: Adly nafi pembelian kenderaan Ketua Menteri

Ia susulan selepas kereta mewah iaitu Lexus ES250 dengan nombor pendaftaran M1 yang juga kenderaan rasmi Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md Ali dan kereta pegawai kanan tular di media sosial.