Peguam Negara AS tolak dakwaan penipuan undi

Peguam Negara Amerika Syarikat, Bill Barr menolak dakwaan Parti Republikan bahawa berlaku penipuan undi dalam Pilihan Raya Presiden AS pada 3 November lalu. - Foto AFP
Peguam Negara Amerika Syarikat, Bill Barr menolak dakwaan Parti Republikan bahawa berlaku penipuan undi dalam Pilihan Raya Presiden AS pada 3 November lalu. - Foto AFP
A
A
A

WASHINGTON - Peguam Negara Amerika Syarikat (AS), Bill Barr semalam menolak dakwaan Parti Republikan bahawa berlaku penipuan undi dalam Pilihan Raya Presiden AS pada 3 November lalu.

Kenyataan itu meningkatkan lagi tekanan ke atas Presiden Donald Trump supaya mengaku kalah dalam usahanya untuk menafikan kemenangan yang diperoleh bekas Naib Presiden AS, Joe Biden daripada Parti Demokrat dalam pilihan raya tersebut.

"Sehingga kini, kami tidak melihat penipuan yang boleh menyebabkan satu keputusan berbeza dalam pilihan raya," kata Barr kepada agensi berita The Associated Press dalam satu temu ramah.

Komen Peguam Negara itu mengesahkan kesimpulan daripada Jabatan Keselamatan Dalam Negara, perisikan AS dan pemerhati pilihan raya bebas bahawa Pilihan Raya AS 2020 adalah yang paling selamat dalam sejarah Amerika.

Kenyataan itu dibuat selepas Trump mendakwa tanpa memberikan bukti kukuh bahawa berlakunya amalan penipuan undi dan sistem teknologi yang digunakan dalam pilihan raya itu di negeri-negeri seperti Michigan, Pennsylvania dan Georgia.

Biden memenangi undi popular di kesemua negeri itu menyebabkan Trump kalah dalam percubaannya untuk mengekalkan tempoh pentadbirannya buat kali kedua.

Dalam satu kenyataan di laman Twitter semalam, Trump mendakwa sebuah trak besar membawa ratusan ribu kertas undi menuju ke sebuah pusat pengundian di Michigan.

Negeri Michigan baharu sahaja mengiktiraf kemenangan Biden dalam pilihan raya tersebut.

Artikel Berkaitan:

Di beberapa kes yang kesemuanya ditolak oleh pihak mahkamah, kempen Trump berusaha untuk tidak mengesahkan berjuta-juta undi diperoleh Biden berhubung dakwaan penipuan undi tetapi tidak mempunyai bukti kukuh.

Mengikut pengiraan undi rasmi, Biden memperoleh 6.2 juta undi lebih banyak berbanding Trump yang sekali gus menyebabkannya mendapat 306 undi elektoral.

Sebanyak 270 undi elektoral diperlukan untuk memenangi pilihan raya Presiden AS namun pasukan kempen Trump berusaha untuk melambat-lambatkan pengiraan undi popular sebelum ia dimuktamadkan.

Pasukan kempen Presiden AS itu juga berbuat demikian sebelum badan pemilih Kolej Elektoral mengesahkan pemenang pilihan raya Presiden itu pada 14 Disember ini.

Peguam peribadi Trump diketuai Rudy Giuliani membuat banyak tuduhan seperti kertas undi palsu dan ribuan rakyat negara itu telah meninggal dunia tetapi disenaraikan sebagai pengundi dan mesin pengiraan undi diprogramkan bagi memberi kemenangan kepada Biden.

Pada 17 November lalu, Ketua Agensi Keselamatan dan Siber Sekuriti dan Infrastrukur, Chris Krebs dipecat Trump kerana membuat kenyataan bahawa Pilihan Raya AS pada 3 November lalu adalah yang paling selamat namun kenyataan Krebs dibidas dan seorang peguam Trump yang marah menggelarkan Kerbs sebagai seorang yang dungu dan sepatutnya 'ditembak.' - AFP