Trend pelajar lelaki di Johor terlibat kes jenayah meningkat

Ayob Khan (depan) menunjukkan modul Mekar yang akan diimplementasikan di sekolah dan IPT selepas dilancarkan di Horizon Hills Golf and Country Club, Iskandar Puteri hari ini.
Ayob Khan (depan) menunjukkan modul Mekar yang akan diimplementasikan di sekolah dan IPT selepas dilancarkan di Horizon Hills Golf and Country Club, Iskandar Puteri hari ini.
A
A
A

ISKANDAR PUTERI - Perkembangan, trend serta statistik jenayah melibatkan kanak-kanak dan remaja sama ada menjadi mangsa atau pelaku jenayah di Johor ketika ini agak membimbangkan.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, antara kesalahan jenayah tertinggi membabitkan golongan itu terutama pelajar lelaki adalah berkaitan kes curi, mencederakan orang, pecah rumah, rogol dan samun.

Menurutnya, biarpun statistik menunjukkan tangkapan melibatkan pelajar dalam indeks jenayah menurun, namun ia masih pada kadar yang membimbangkan.

"Bagi tahun 2018, tangkapan melibatkan pelajar dalam indeks jenayah adalah sebanyak 1,388 kes menurun kepada 1,230 kes pada tahun lalu. Pada tahun ini, sebanyak 538 kes direkodkan dari awal Januari hingga Oktober lalu.

"Sebanyak 95 peratus pelaku jenayah dalam kalangan pelajar adalah lelaki, manakala selebihnya melibatkan pelajar perempuan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Modul Kesedaran Jenayah Kanak-kanak dan Remaja (Mekar) Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kontinjen Johor bersama Universiti Teknologi Malaysia (UTM) di Horizon Hill Golf and Country Club di sini hari ini.

Turut hadir, Ketua JPJKK Johor, Senior Asisten Komisioner Alzafny Ahmad, Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UTM yang juga sedang menjalankan fungsi Naib Canselor UTM, Profesor Datuk Ts Dr Ahmad Fauzi Ismail dan Pengarah Pendidikan Negeri Johor, Shaharuddin Saari.

Ayob Khan berkata, bagi kes jenayah yang dilaporkan, 58 peratus mangsa adalah pelajar perempuan, manakala 42 peratus adalah pelajar lelaki.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, mangsa paling tinggi membabitkan kes rogol, mencederakan orang dan curi motosikal, hampir 99 peratus pelaku jenayah dan mangsa merupakan pelajar sekolah menengah berusia 13 hingga 18 tahun.

"Penglibatan kes narkotik dalam kalangan pelajar pada 2018 adalah sebanyak 38 kes melibatkan 67 pelajar.

"Jumlah tersebut menurun kepada 33 kes melibatkan 43 pelajar pada 2019 dan 30 kes melibatkan 36 pelajar pada awal tahun ini hingga Oktober lalu," katanya.

Katanya, semua kes jenayah narkotik adalah melibatkan pelajar sekolah menengah iaitu bagi kesalahan memiliki dadah, memasukkan dadah ke dalam badan dan penyalahgunaan air ketum.

"Walaupun bilangan kes melibatkan pelajar bagi kes narkotik dalam tempoh tiga tahun menurun, langkah pencegahan perlu diambil agar penglibatan pelajar dalam kes jenayah dalam ditangani," katanya.