Sila log masuk terlebih dahulu.

Saya tidak pernah bayar RM90 juta kepada Hadi, Pas: Najib

04 Februari 2019 |
A
A
A
Saya tidak pernah bayar RM90 juta kepada Hadi, Pas: Najib

Bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata beliau tidak pernah membayar RM90 juta kepada Pas atau presiden parti itu, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Kata beliau, Jika ianya benar ada sebarang bayaran dari saya ataupun dari Umno, sudah tentu kerajaan Pakatan Harapan akan mengambil kesempatan untuk membeku akaun bank Presiden Pas ataupun akaun parti Pas, katanya menerusi catatan di Facebook miliknya semalam.

Kenyataan Najib itu sehari selepas Pas menarik balik saman fitnahnya terhadap editor Sarawak Report Clare Rewcastle-Brown yang telah membuat tuduhan tersebut.

Rewcastle-Brown dilaporkan mengalu-alukan penyelesaian di luar mahkamah kerana beliau tidak perlu menarik keluar artikel yang disaman Pas itu yang mendedahkan skandal 1MDB, mendakwa dalam artikel 6 Ogos 2016 bahawa Najib menarik sokongan Pas menjelang pilihan raya umum dan sejumlah RM90 juta telah mengalir ke dalam akaun para pemimpin tertingginya.

Dua maut, bas rempuh kereta

Seorang remaja perempuan dan kanak-kanak maut, manakala lima lagi cedera dalam kemalangan membabitkan sebuah kereta dan bas ekspres di Kilometer 265.6 Lebuhraya Plus Arah Selatan awal pagi hari ini.

Dalam kejadian kira-kira jam 1.50 pagi itu, mangsa yang menaiki kereta jenis Proton Pesona, dipercayai tercampak keluar akibat kenderaan yang dinaiki terbabas sebelum dilanggar bas.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri, Norazam Khamis berkata mangsa yang merupakan seorang remaja perempuan dan kanak-kanak disahkan maut di tempat kejadian, manakala lima lagi dibawa ke hospital dengan menaiki ambulans untuk tindakan susulan.

Katanya, menurut saksi kejadian, kemalangan bermula apabila kereta tersebut cuba mengelak motosikal, tetapi terbabas sehingga melanggr pembahagi jalan, kereta itu kemudiannya berpusing sebelum dirempuh bas dari arah belakang.

Sabah akan teliti cadangan jadikan Bugis, Jawa ‘anak negeri’

Kerajaan Sabah akan melihat dalam pelbagai aspek termasuk dari segi undang-undang mengenai cadangan untuk masyarakat Jawa dan Bugis diiktiraf sebagai anak negeri.

Ketua Menterinya, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata perkara itu perlu diteliti agar tidak menjadi pertikaian tanpa mengetepikan suku kaum yang terdapat di Sabah.

Shafie berkata kesesuaian itu perlu dilihat untuk mewakili sesebuah kaum di sesuatu kawasan namun bagaimana ia dilaksana perlu berlandaskan dengan perundangan sedia ada.

Baru-baru ini, Menteri Undang-undang dan Hal Ehwal Anak Negeri Sabah, Datuk Aidi Moktar dikecam selepas mencadangkan masyarakat Jawa dan Bugis di negeri itu diiktiraf sebagai anak negeri.

Siti Nurhaliza tiada kaitan dengan PRK DUN Semenyih

Penyanyi nombor satu negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza tidak akan mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung penularan dakwaan mengatakan dia bakal bertanding sebagai calon Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dun Semenyih.

Perkara itu ditegaskan oleh pengurus peribadi Siti Nurhaliza, Rozi Abd. Razak, sebagai kenyataan terhadap desakan pelbagai pihak yang mahukan penjelasan Siti mengenai dakwaan tersebut.

Mengulas lanjut, Rozi berkata, sepanjang berdepan fitnah mengaitkan Siti Nurhaliza dalam propaganda politik, pihak pengurusan mengambil pendekatan berdiam diri dan hanya sesekali menjelaskan dakwaan tersebut kepada umum.

Baru-baru ini tular dalam media sosial mengaitkan pelantun lagu Anta Permana itu sebagai calon PH dalam PRK DUN Semenyih yang dijadualkan berlangsung pada 2 Mac nanti.

Pesawat terhempas bawa pemain Argentina ditemui

Kapal terbang yang membawa pemain Argentina, Emiliano Sala ke Cardiff City sebelum terhempas pada 21 Januari lalu disahkan telah ditemui.

Jurucakap Cawangan Siasatan Kemalangan Udara Britain (AAIB) mengesahkan satu kenyataan rasmi akan dikeluarkan secepat mungkin berhubung perkara itu.

Sala yang menaiki pesawat ringan jenis Piper PA-46 sedang dalam perjalanan dari kelab lamanya, Nantes di Perancis untuk menyertai kelab baharunya, Cardiff ketika insiden kemalangan udara itu berlaku.

Jasad pemain penyerang berusia 28 tahun ini yang dibeli dengan harga 17 juta euro (RM80j) masih belum ditemui menyebabkan keluarganya mengupah sebuah syarikat penerbangan persendirian untuk mencari bangkai pesawat tersebut.