X

Kindly register in order to view this article
!

Anggota polis maut kemalangan

Keadaan motosikal mangsa selepas terlibat dalam kemalangan di Kilometer 2 Jalan Melang Kuala Pilah malam tadi. Gambar kecil: Muhammad Hamidi Fikri
A
A

KUALA PILAH - Seorang anggota polis Ibu Pejabat Polis daerah (IPD) Kuala Pilah maut selepas terlibat dalam kemalangan di Kilometer 2 Jalan Melang Kuala Pilah berdekatan lampu isyarat Hospital Tuanku Ampuan Najihah (HTAN) Kuala Pilah malam tadi.

Mangsa, Lans Koperal Muhammad Hamidi Fikri Mohd Safry, 23, disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di wad kecemasan Hospital Kuala Pilah kira-kira jam 11 malam tadi.

Ketua Polis daerah Kuala Pilah, Superintenden Amran Mohd Ghani berkata, kejadian kira-kira jam 9.50 malam berlaku ketika mangsa yang sedang bertugas Task Force Op Covid-19 dalam perjalanan menghala ke IPD Kuala Pilah dengan menunggang motosikal jenis Yamaha 125z.

Menurutnya, berdasarkan siasatan awal, mangsa telah melanggar kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Avanza yang sedang membelok masuk ke hospital selepas memberi laluan kepada sebuah ambulans yang berada di belakangnya.

"Mangsa yang datang dari arah bertentangan tidak sempat mengelak lalu melanggar Toyota Avanza dipandu lelaki berusia 47 tahun.

"Akibat kemalangan itu, mangsa mengalami kecederaan parah (dalaman) di bahagian perut dan dada, manakala pemandu Toyota Avanza tidak mengalami kecederaan," katanya ketika dihubungi Sinar Harian.

Beliau berkata, siasatan kes masih diteruskan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Dalam pada itu, Amran berkata, Allahyarham yang memulakan tugas dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada September 2016 akan dikebumikan di kampung halamannya di Bachok, Kota Bharu, Kelantan.

"Sepanjang bertugas, Allahyarham menunjukkan prestasi kerja yang baik, seorang bertanggungjawab dan komited dengan penugasan yang dilakukan selain mempunyai mutu disiplin berintegriti.

"Allahyarham juga sentiasa menghormati semua peringkat penyelia dan pegawai kanan, malah beliau sentiasa disenangi oleh rakan sekerja selain seorang yang aktif dalam sukan sepak takraw," katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!