Guna kepakaran teknokrat tempatan bangun data raya

Aminolhuda
Aminolhuda
A
A
A

ISKANDAR PUTERI - Kerajaan Johor disaran menggunakan kepakaran teknokrat dari universiti tempatan bagi membangunkan data raya yang mengumpulkan maklumat penduduk bagi memudahkan perancangan pada masa hadapan.

Ketua Pembangkang, Aminolhuda Hassan berkata, kelemahan dalam pengumpulan data sewajarnya tidak berlaku memandangkan Johor mempunyai dua universiti terkemuka iaitu Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan Universiti Tun Hussien Onn ( UTHM).

Katanya, kerajaan negeri juga tidak sepatutnya bergantung kepada jabatan dan agensi di peringkat Persekutuan untuk mendapatkan data.

"Sepatutnya kerajaan negeri sudah lama menggunakan tenaga profesional iaitu pensyarah di kedua-dua universiti ini untuk membangunkan pengumpulan data yang merangkumi pelbagai maklumat antaranya jumlah rakyat di bawah kemiskinan.

"Tidak mungkin Kerajaan Negeri Johor yang merupakan antara terbaik berbanding negeri-negeri lain tidak mampu uruskan data raya ini. Kelemahan ini tidak patut berlaku," katanya pada sidang media di luar persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor di Kota Iskandar di sini hari ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Parit Yaani itu menambah, usaha untuk membangunkan data menggunakan kepakaran pensyarah dari UTM dan UTHM merupakan antara cadangan Pakatan Harapan ( PH) sewaktu mentadbir kerajaan negeri sebelum ini namun cadangan tersebut tidak dapat diteruskan selepas Johor bertukar tampuk pemerintahan pada Februari tahun ini.

"Diharap cadangan ini dapat dimanfaatkan kerana ia memberi pulangan kepada kerajaan negeri dalam kecekapan pengumpulan data," katanya.

Artikel Berkaitan: