Rumah Mampu Biaya Johor tidak mencukupi

Ayub
Ayub
A
A
A

JOHOR BAHRU - Kerajaan Johor mengakui jumlah Rumah Mampu Biaya Johor (RMBJ) masih tidak mencukupi bagi menampung penawaran yang tinggi terhadap pemilikan rumah tersebut.

Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri Johor, Ayub Jamil berkata, sebanyak 1,579 unit RMBJ disasarkan pada tahun hadapan dengan 11,128 unit telah siap dibina sejak 2018.

"Diakui jumlah permintaan berbanding penawaran masih tidak mencukupi. Walau bagaimanapun beberapa strategi digariskan bagi menambah lagi bilangan rumah tersebut.

"Antara strategi yang akan dilaksanakan adalah seperti pelaksanaan kempen transisi 2.0, pembangunan RMBJ oleh pemaju swasta dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) serta usaha sama antara kerajaan negeri bersama kerajaan Persekutuan," katanya.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan dikemukakan Datuk Zulkurnain Kamisan (BN-Sri Medan) berkenaan langkah kerajaan negeri bagi menampung permintaan rakyat terhadap RMBJ pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor di Kota Iskandar di sini hari ini.

Ayub yang merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri ( ADUN) Rengit berkata, menerusi kempen transisi 2.0 pihak pemaju diberi pilihan untuk meminda komponen rumah kos rendah dan kos sederhana rendah yang masih belum dibina untuk dipinda kepada komponen RMBJ.

"Bagi pembangunan RMBJ oleh pemaju swasta, setiap pembangunan yang akan dibina oleh pihak pemaju perlulah menyediakan komponen RMBJ sekurang-kurangnya 40 peratus bagi setiap pembangunan yang dimajukan.

"Pembangunan RMBJ oleh GLC pula usaha sama bersama pihak antaranya Kumpulan Prasarana Rakyat Johor (KPRJ) dan Perbadanan Islam Johor (PIJ) di mana dijangka sebanyak 1,427 unit mampu disediakan menerusi inisiatif ini," katanya.

Artikel Berkaitan:

Katanya, kerajaan negeri menyambut baik usaha sama kerajaan Persekutuan bagi memenuhi impian rakyat untuk memiliki kediaman pada harga yang berpatutan di bawah Program Perumahan Rakyat (PPR), Perumahan Penjawat Awam Malaysia (PPAM), Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) dan Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB).