Petugas pembersih hospital wajar diberi RM300

Kerajaan perlu mempertimbangkan semula pemberian 'one-off' RM300 kepada petugas pembersih hospital. Foto123rf
Kerajaan perlu mempertimbangkan semula pemberian 'one-off' RM300 kepada petugas pembersih hospital. Foto123rf
A
A
A

KOTA KINABALU - Kerajaan perlu mempertimbangkan semula pemberian 'one-off' RM300 kepada petugas pembersih hospital kerana mereka juga layak menerima pemberian ini.

Ketua Penerangan Angkatan Muda Keadilan (AMK) Sabah, Razeef Rakimin berkata, pihaknya mengambil maklum cadangan Ahli Parlimen Lembah Pantai, Fahmi Fadzil supaya pembersih hospital diberikan bayaran itu sebanyak RM300, namun ditolak oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-tugas Khas), Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof.

"Alasan yang diberikan adalah ia merupakan dasar kerajaan bahawa hanya doktor, jururawat dan pembantu perubatan yang mengendalikan pesakit dan golongan berisiko tinggi Covid-19 layak menerima pemberian 'one-off' itu dan bukannya pembersih hospital.

"Saya yakin Mohd Redzuan tidak faham skop tugas penuh pembersih hospital dan adakah bagi beliau pembersih hospital hanya menyapu hospital sahaja.

"Untuk pengetahuan Mohd Redzuan, pembersih hospital juga berhadapan dengan risiko pelbagai penyakit sebelum Covid-19 melanda. Ini kerana mereka berdepan dengan pelbagai sisa buangan kimia yang merisikokan mereka," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Razeef berkata, risiko petugas pembersihan hadapi semakin tinggi sejak Covid-19 melanda dan mereka ini bukan sahaja membersihkan hospital yang terdapat kesan Covid-19 malah bahan buangan sama ada daripada petugas kesihatan yang menangani kes Covid-19 atau pun bahan buangan dari pesakit Covid-19 itu sendiri.

"Kita bukan sahaja perlu mengiktiraf bahawa petugas pembersihan hospital ini juga sebagai petugas barisan hadapan, malah kita perlu akui mereka berdepan dengan risiko yang sama tinggi seperti petugas perubatan yang lain," katanya.

Sehubungan itu, Razeef berharap kerajaan perlu mempertimbangkan semula pemberian 'one-off' RM300 kepada petugas pembersih hospital kerana dalam Belanjawan 2021 sendiri kerajaan banyak mengumumkan peruntukan yang dilihat tiada keperluan dan pembaziran di saat negara berdepan dengan pandemik Covid-19.

Artikel Berkaitan:

"Adalah lebih baik peruntukan yang dilihat membazir seperti penubuhan semula Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa), Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) serta elaun-elaun di Jabatan Perdana Menteri yang dilihat tiada keperluan ketika pandemik ini disalurkan kepada petugas pembersihan hospital yang setiap hari berhadapan dengan risiko jangkitan wabak Covid-19.

"Belanjawan 2021 sepatutnya lebih tertumpu kepada kesihatan dan pemulihan ekonomi serta peruntukan kepada kesihatan bukan sahaja melibatkan perubatan dan pembangunan infrastruktur malah memberi insentif kepada semua petugas barisan hadapan," katanya.