Belanjawan Perak: Perhalusi bantuan penjaja kecil

Sharul Baha
Sharul Baha
A
A
A

IPOH - Kerajaan Perak diminta memperhalusi pemberian bantuan kepada penjaja kecil menerusi Belanjawan Perak 2021 yang akan dibentangkan pada Jumaat ini.

Pengerusi Persatuan Usahawan Bersatu Ipoh Perak (PUBI), Sharul Baha Abd Rahman berkata, usaha kerajaan negeri sebelum ini membantu golongan penjaja kecil dengan pemberian tunai secara sekali beri atau 'one-off' sebanyak RM500 melalui Pakej Rangsangan Ekonomi Negeri Perak amat dialu-alukan.

Menurutnya, bagaimanapun, penerima bantuan tersebut tidak meluas kerana diberikan kepada mereka yang berdaftar di bawah pihak berkuasa tempatan (PBT) sahaja.

"Kebanyakan penjaja kecil terutama yang berniaga di pasar pagi dan pasar malam ini di bawah seliaan persatuan, mereka ini terjejas tetapi tidak dapat bantuan.

"Saya mencadangkan bantuan disalurkan melalui persatuan kerana mereka mempunyai data ahli yang terjejas dan berniaga di pasar pagi dan pasar malam," katanya kepada Sinar Harian.

Sementara itu, Sharul Baha berkata, kerajaan negeri turut dicadangkan memberi bantuan sekali bayar kepada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) aktif yang beroperasi di Perak untuk menampung perbelanjaan mereka.

Katanya, situasi pandemik Covid-19 ini menyebabkan persatuan juga turut terjejas kerana tidak dapat menjalankan aktiviti ekonomi dan bantuan juga wajar diperluaskan kepada koperasi kerana kumpulan ini juga selalu dianaktirikan di dalam belanjawan negeri.

Dalam pada itu, Presiden Majlis Belia Negeri (MBN) Perak, Aswannudin Hariffudin turut mencadangkan agar kerajaan negeri memberikan insentif yang sepatutnya bagi membantu peniaga kecil dan industri berkaitan pelancongan di Perak.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, pemberian insentif yang bersesuaian perlu dilakukan kerajaan bagi menjana semula ekonomi di negeri ini yang terjejas akibat pandemik Covid-19.

Aswannudin
Aswannudin

"Sekarang ini diperkatakan mengenai gelombang pelancongan domestik. Amat rugi sekiranya Perak tidak mengambil kesempatan dan membuat persediaan daripada keadaan itu.

"Dalam situasi semasa Industri perhotelan, taman-taman tema, pusat-pusat tarikan pelancongan, kedai makan sehinggalah ke Zoo Taiping sedang bergelut untuk kekal bertahan. Sepatutnya perlu ada inisiatif di dalam belanjawan negeri kali ini untuk menarik pelancong domestik ke Perak," katanya.

Beliau berkata, mungkin inisiatif melalui kad diskaun dan rebat boleh dilaksanakan untuk menggalakkan kemasukan pelancong ke negeri ini.

Aswannudin berkata, dalam usaha menggerak atau merancakkan semula ekonomi rakyat dan negeri, kerajaan negeri perlu menggalakkan rakyat berbelanja dengan pihak PBT boleh mempermudahkan serta memberi beri diskaun kepada penganjur Jualan Mega.

Katanya, dengan limpahan kehadiran pelancong domestik yang datang ke negeri ini nanti diharapkan dapat merancakkan sumber pendapatan rakyat khususnya yang terlibat di dalam industri-Industri berkaitan di Perak.