X

Kindly register in order to view this article
!

'Geng keluar malam' bantu kucing jalanan

Muhamad Azril bersama kumpulannya memberi kucing makan di sekitar pekan Rembau.
A
A

REMBAU – Ketika orang lain memilih untuk berehat di rumah pada waktu malam, namun sekumpulan individu di daerah ini memilih untuk keluar ‘berbakti’ kepada lebih 100 ekor kucing jalanan di sekitar pekan Rembau.

Bermula jam 9 malam sehingga 12 tengah malam, Muhamad Azril Maarof, 38, bersama rakan pencinta kucing akan ke lokasi tumpuan haiwan berkenaan untuk memberi makan termasuk melakukan kerja-kerja merawat.

Menurut kakitangan swasta berkenaan, usaha murni itu bermula pada Mac lalu ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) susulan Covid-19 yang menyebabkan semua kedai makan dan premis perniagaan ditutup.

Muhamad Azril gembira kerana dapat berbakti dengan kucing jalanan.
Muhamad Azril gembira kerana dapat berbakti dengan kucing jalanan.

“Kita pun ramai yang hidupnya terjejas ketika PKP, sama juga dengan kucing jalanan ini yang hilang terus sumber makanan mereka kerana kedai makan tidak dapat beroperasi.

“Jadi saya ambil inisiatif sendiri pergi ke lokasi tumpuan kucing seperti kawasan pasar dan medan selera untuk beri makan kepada haiwan ini pada setiap hari,” katanya.

Melihat keperluan makanan kepada haiwan berkenaan selain usaha itu memerlukan dana yang agak besar, beliau mencuba nasib menguar-uarkan di Facebook mengajak masyarakat untuk turut sama menyumbang sama ada dalam bentuk makanan dan wang.

Beliau berkata, beliau tidak menyangka ia telah menarik minat luar biasa masyarakat di sekitar Rembau yang kini ada turut turun padang dengannya untuk ‘bertemu’ dengan haiwan berkenaan setiap malam.

 Kucing jalanan di sekitar pekan Rembau diberikan makanan.
Kucing jalanan di sekitar pekan Rembau diberikan makanan.

“Bagi memberi keyakinan kepada masyarakat yang menyumbang, saya akan kongsi dengan mereka segala resit pembelian makanan kucing dan aktiviti dilakukan.

"Pada Julai lalu saya terpaksa hentikan sementara aktiviti ini kerana ada urusan lain sebelum menyambung semula aktiviti ini pada Oktober.

"Saya tidak sangka masih ada yang mahu membantu sehingga mereka pun mahu sertai saya turun ke lokasi beri kucing makan dan ada yang memainkan peranan untuk merawat,” katanya.

Selain itu menurutnya, sebanyak 10 bekas makanan kucing yang diinfakkan orang ramai telah diletakkan di lokasi tumpuan kucing di sekitar pekan Rembau.

Muhamad Azril memegang seekor anak kucing jalanan yang ditemui di Pasar Rembau.
Muhamad Azril memegang seekor anak kucing jalanan yang ditemui di Pasar Rembau.

Muhamad Azril berkata, beliau mendapat kerjasama yang baik daripada kebanyakan pemilik kedai makan yang secara sukarela menjaga dan membersihkan bekas berkenaan.

“Saya tahu usaha kami ini hanya kecil saja, tetapi bila kita dapat berbakti walaupun dengan haiwan ini rasa seronok.

“Saya pun mula jatuh hati dengan kucing masa awal PKP dan sekarang sudah ada tiga ekor kucing di rumah yang saya ambil dari jalanan. Sebenarnya ada yang tidak pernah bela kucing pun jadi minat untuk bela bila lihat gambar serta video yang saya kongsi di Facebook,” katanya.

Katanya, sehingga kini sudah lebih 15 ekor kucing jalanan yang diserahkan kepada keluarga angkat.

Oleh sebab itu beliau kini dalam proses menubuhkan kelab kucing di Rembau bertujuan menarik minat lebih ramai pencinta kucing untuk menyertainya sekaligus menjadikan perjalanan aktivitinya lebih tersusun.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!