Melaka United kena lebih konsisten

Pemain Melaka United Patrick Reichelt (kiri) cuba melepasi halangan pemain Petaling Jaya City Mohamad Zamri Pin Ramli (kanan) pada Perlawanan Liga Super di Stadium Hang Jebat. - Foto Bernama
Pemain Melaka United Patrick Reichelt (kiri) cuba melepasi halangan pemain Petaling Jaya City Mohamad Zamri Pin Ramli (kanan) pada Perlawanan Liga Super di Stadium Hang Jebat. - Foto Bernama
A
A
A

MELAKA United akan memperbaiki permainan pasukannya bagi memastikan keseluruhan pemain skuad itu kekal konsisten dalam keseluruhan 90 minit masa perlawanan, kata Ketua Jurulatihnya, Zainal Abidin Hassan.

Beliau berkata biarpun meraih kemenangan sulung menewaskan Petaling Jaya City FC (PJCFC) 2-1 malam tadi, beliau melihat pemainnya gagal mengekalkan rentak permainan dan terus tertekan pada separuh masa kedua hingga melakukan kesilapan seterusnya memberi ruang kepada pelawat menguasai permainan.

"Di separuh masa kedua kita dapat tentangan sengit dan pihak lawan mengandakan asakan namun kita tidak mengubah tempo, ini yang perlu kita ambil perhatian dan berhati-hati selain perbaiki permainan di minit 46 hingga 90 untuk kekal bertenaga dalam tempoh keseluruhan perlawanan.

"Paling mustahak dalam aksi pertama ini ialah mengutip tiga mata, displin para pemain harus dipuji walaupun melakukan kesilapan hingga membenarkan lawan membuat gol, seterusnya menyebabkan kita tertekan tetapi berjaya bertahan untuk menang," katanya kepada pemberita di sini.

Terdahulu pada perlawanan itu, Melaka United mendahului 2-0 pada separuh masa pertama menerusi Liridon Krasniqi pada minit ke-36 dan Anselmo Casagrande lapan minit kemudian, namun babak kedua, PJCFC lebih menguasai permainan sehingga memperoleh gol pada minit ke-58 menerusi R. Barathkumar

Zainal Abidin berkata Melaka United akan terus memperbaiki kelemahan untuk memastikan para pemain dapat mengekalkan displin dan rentak dalam 90 minit permainan pada aksi Liga Super seterusnya bertemu PKNS di tempat lawan minggu depan.

Sementara itu, Ketua Jurulatih PJCFC, K. Devan berkata beliau optimis dengan kemampuan anak-anak buahnya akan bertambah baik pada aksi akan datang dan akan mengunakan tempoh masa yang ada sebelum perlawanan menentang Selangor minggu depan untuk meningkatkan prestasi pasukan.

"Bagi saya, kejayaan mengawal permainan di separuh kedua di tempat lawan menunjukkan kita mempunyai kualiti. Namun, rata-rata pemain kurang pengalaman beraksi dalam Liga Super dan mereka memerlukan sedikit masa lagi untuk bertambah serasi.

Artikel Berkaitan:

"Saya nampak mereka begitu gementar dalam separuh masa pertama. Mereka hilang konsistensi dan fokus akibat rasa gementar sehingga membenarkan Melaka United menjaringkan dua gol. Kita akan mengatasi masalah ini dan akan meningkat keserasian antara pemain," katanya.