WhatsApp Group satukan kerajaan dan pembangkang

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini memperlihatkan ketulusan wakil rakyat kerajaan dan pembangkang yang sanggup mengenepikan perbezaan politik apabila mewujudkan satu 'WhatsApp group' bersama bagi memfokuskan perbincangan mengenai penggubalan Rang Undang-Undang (RUU) Kesaksamaan Gender.

Perkara itu dimaklumkan Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Hannah Yeoh Tseow Suan yang dengan mesra meminta ahli Parlimen pembangkang, Datuk Dr Noraini Ahmad (BN-Parit Sulong) memasukkan mana-mana ahli Parlimen wanita lain yang masih belum menyertai kumpulan tersebut agar dapat turut sama berkongsi pendapat dan melontarkan cadangan.

"Kita telah pun ada satu WhatsApp group. Bagi yang masih (ahli Parlimen wanita) belum masuk WhatsApp group, boleh minta Parit Sulong (Noraini) masukkan nombor anda.

"Perbicangan isu wanita kita bincang bersama secara 'informal' untuk dapatkan pandangan sebelum di bawa ke Parlimen," katanya ketika menjawab soalan tambahan Datuk Seri Rohani Abdul Karim (PBB-Batang Lupar) mengenai perkembangan RUU itu.

Yeoh berkata meskipun usaha untuk membawa RUU itu dimulakan sejak pemerintahan kerajaan lalu, terdapat beberapa kekangan yang perlu dilihat secara terperinci sebelum RUU itu dibawa ke Parlimen.

"Ada beberapa kekangan yang masih dalam perbincangan antaranya hukum pembahagian harta melalui faraid, ini perlukan lebih perbincangan yang terperinci dengan bahagian Syariah dan perbincangan mengenai RUU ini sentiasa dilakukan bersama pelbagai pihak termasuk badan bukan kerajaan (NGO) dan pakar-pakar dari dalam dan luar negara," katanya.

Menurut Yeoh, terdapat tiga isu yang tidak bercanggah dengan kesaksamaan gender di negara iaitu pendidikan, kesihatan dan peluang pekerjaan.

"Menerusi perbincangan yang diadakan, tiga aspek dicapai iaitu melalui pendidikan, setiap seorang rakyat mempunyai peluang samarata menerima pendidikan dari sekolah rendah ke universiti.

Artikel Berkaitan:

"Dari segi kesihatan pula semua rakyat boleh mengakses perkhidmatan kesihatan yang sama dan peluang pekerjaan juga terbuka kepada semua tanpa mengira bangsa, agama dan jantina," katanya. – Bernama