Malaysia anjur Forum Menteri-Menteri Gas IEF-IGU ke-7

Muhyiddin Yassin
Muhyiddin Yassin
A
A
A

KUALA LUMPUR - Malaysia akan menjadi tuan rumah Forum ‘7th International Energy Forum (IEF)-International Gas Union (IGU) Ministerial Gas’ pada 3 Disember dengan tema ‘Towards Recovery and Shared Prosperity: Natural Gas Opportunities for a Sustainable World’.

Kerajaan Malaysia akan diwakili oleh Unit Perancang Ekonomi (EPU) di Jabatan Perdana Menteri.

Acara dwitahunan itu dianjurkan bersama oleh IEF dan IGU dan akan ia diadakan untuk kali pertama.

Dalam satu kenyataan hari ini, EPU berkata, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin akan merasmikan meja bulat.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed akan turut serta sebagai moderator bersama dalam forum menteri itu dengan Presiden IGU, Profesor Joe Kang dan Setiausaha Agung IEF, Joseph McMonigle.

"Forum ini akan memfokuskan pada dialog inklusif yang mengetengahkan peranan gas asli untuk memperkukuhkan keselamatan tenaga dan memudahkan peralihan tenaga yang teratur dalam dunia yang semakin tercemar akibat karbon.

"Dua sesi plenari yang berasingan telah dijadualkan pada waktu tersebut untuk mendorong penyertaan yang lebih banyak dari 38 negara termasuk Asia, Amerika Utara, Amerika Selatan, Eropah, Timur Tengah dan Afrika," kata EPU.

Sementara itu, Mustapa berkata, forum itu akan menangani masalah industri gas dalam persekitaran pandemik global ketika ini wabak dan membincangkan penyelesaian yang menguntungkan semua.

Artikel Berkaitan:

Malaysia sedang dalam proses pertumbuhan ekonomi yang pesat dan gas diharapkan dapat memainkan peranan penting dalam ekonomi pada masa depan, katanya.

Beliau berkata, Malaysia sebagai pengeksport gas asli cecair (LNG) kelima terbesar di dunia dan penggiat gas utama di rantau ini berada dalam kedudukan yang baik untuk memainkan peranan aktif dalam advokasi gas global dan turut serta dalam menentukan arah masa depannya.

"Perbincangan strategik yang akan berlangsung selama forum ini juga bertujuan untuk mendorong penglibatan yang lebih besar antara kerajaan dan penggiat industri untuk membentuk masa depan gas asli.

"Oleh kerana persekitaran dalam industri gas asli menjadi lebih mencabar, saya mengharapkan sesi dialog yang rancak antara pembuat dasar dan penggiat gas asli global dalam mengembangkan idea untuk pemulihan ekonomi jangka pendek dan peralihan tenaga jangka panjang,” katanya. - Bernama