X

Kindly register in order to view this article
!

Johor mahu jadikan sukan industri ekonomi baharu

Hasni Mohammad
A
A

SPORTS Johor Sdn Bhd dan Majlis Sukan Negeri Johor (MSNJ) dalam usaha untuk memuktamadkan kerjasama bersama universiti terbaik di dunia dalam bidang sains sukan, Universiti Loughborough, United Kingdom.

Langkah itu bukan sahaja dapat membantu memantapkan persiapan kontinjen Johor bagi menghadapi temasya Sukan Malaysia (Sukma) Johor 2022, malah berpotensi membantu Johor melahirkan atlet bertaraf dunia dan membangunkan industri sukan serta memacu pembangunan sektor pelancongan sukan.

Ia selaras dengan visi kerajaan negeri Johor menerusi pembentangan Belanjawan 2021 oleh Menteri Besar, Datuk Ir Hasni Mohammad yang mahu menjadikan bidang sukan sebagai industri ekonomi baharu di Johor.

Belanjawan itu menyaksikan sejumlah RM1 juta diperuntukkan bagi membangunkan Johor Sports Masterplan 2030 - pelan induk yang akan memberikan hala tuju baharu kepada industri sukan negeri Johor - bukan sahaja untuk gaya hidup dan pembangunan atlet semata-mata, tetapi menjadikan sukan sebagai sumber ekonomi baharu kepada negeri itu.

Dalam pada itu, sejumlah RM1 juta turut diperuntukkan bagi Program Profesionalisasi Persatuan Sukan Negeri Johor termasuk pemberian geran MSNJ kepada persatuan sukan negeri mengikut gred yang akan dinilai oleh MSNJ.

Beberapa persatuan sukan negeri menyambut baik inisiatif itu yang disifatkan dapat membantu persatuan untuk lebih berdaya saing dan mempunyai tadbir urus bersistematik, sekali gus merancakkan program sukan negeri Johor dalam usaha melahirkan lebih ramai atlet muda berkualiti pada masa hadapan.

Presiden Persatuan Olahraga Negeri Johor, Sallehudin Satar berkata, pengumuman itu menjadi titik tolak untuk mengharungi keadaan yang tidak menentu selain memberikan peluang buat anak watan Johor bagi terus memajukan lagi sukan berkenaan.

"Kami menghargai usaha kerajaan negeri yang sentiasa memantau keadaan persatuan-persatuan sukan sehingga kami akan mengecapi kejayaan dalam pelbagai pertandingan khususnya pada temasya Sukan Malaysia akan datang," katanya

Presiden Persatuan Berbasikal Negeri Johor, Datuk Amran A Rahman pula berkata, pengumuman kerajaan negeri itu adalah satu belanjawan yang inklusif dan berharap bantuan dapat diteruskan kepada sukan yang berprestasi tinggi.

"Selain itu, penyelenggaraan prasarana sukan juga perlu diambil kira dan persatuan akan merangka semula pelan tindakan bagi menghadapi sebarang pertandingan khususnya temasya Sukan Malaysia pada 2022 di Johor," ujarnya.

Presiden Persatuan Karate Negeri Johor, Chok Kong Yu menyifatkan peruntukan menerusi belanjawan itu dapat membantu persatuan berkenaan merangka semula perancangan yang tertangguh.

"Tumpuan utama kami sudah pasti persediaan bagi menghadapi Sukan Malaysia yang bakal dilangsungkan pada 2022 dan saya menaruh harapan tinggi kami akan bersedia sepenuhnya," jelasnya.

Kerajaan negeri Johor turut menyediakan platform untuk rakyat bersukan menerusi penganjuran Karnival Sukan Makmur Xtif Johor yang membabitkan tiga jenis sukan iaitu sukan sepak takraw, badminton dan bola jaring.

Acara seperti XTIF Johor Fun Ride, Fun Run dan Esports juga akan dilaksanakan di bawah JOYDEC di mana kerajaan negeri akan memperuntukkan sebanyak RM1.98 juta bagi tujuan itu untuk membantu rakyat negeri Johor kekal aktif dengan bersukan.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!