X

Kindly register in order to view this article
!

Ghairah dengan sihir teknologi

Kini internet tidak lagi menjadi benda terlarang, tidak juga eksklusif. Ia boleh dicapai oleh sesiapa sahaja, hampir di mana-mana sahaja pada bila-bila masa.
A
A

TELAH berlalu hari-hari itu...

Bangun pagi, menghayun langkah ke kedai akhbar dan majalah, membeli surat khabar senaskhah untuk mengetahui apa yang terjadi semalam atau hari-hari sebelumnya.

Telah berlalu hari-hari itu...

Dara sunti menopang dagu di jendela, menunggu posmen lalu, mengharapkan surat daripada buah hati yang sudah berhari-hari menyepikan diri.

Telah berlalu hari-hari itu...

Menyelerakkan rumah, mencari buku nota kecil tempat menyimpan segala alamat dan nombor telefon atau menyelongkar almari mencari album gambar-gambar lama dan baharu untuk ditunjuk kepada tetamu.

Telah berlalu hari-hari itu...

Menanti emak atau abah menghantar kiriman wang pos (money order) untuk membayar yuran kuliah atau duit sewa rumah atau membayar balik duit yang dipinjam daripada kawan-kawan.

Semuanya telah tiada. Hampir segala-galanya. Melainkan kerana malas sendiri atau ‘lembapnya’ isyarat internet, tiada apa yang perlu ditangguh. Dengan sekali dua tekan, semuanya akan dapat dicapai. Mudah.

Sebelum Tim Berners-Lee membina World Wide Web yang kemudiannya kita kenali sebagai laman sesawang. Internet hanyalah satu jaringan statik antara dua terminal yang cuma boleh bertukar-tukar sejumlah kecil data dan boleh dikendali oleh mereka yang ahli sahaja. Statusnya acapkali sulit dan rahsia. Bukan sembarangan orang boleh mengaksesnya.

Ia mengalami evolusi. Perlahan tetapi secara total. Kini internet tidak lagi menjadi benda terlarang, tidak juga eksklusif. Ia boleh dicapai oleh sesiapa sahaja, hampir di mana-mana pada bila-bila masa. Ia bukan lagi jaringan statik yang memaksa kita duduk memaku punggung di kerusi. Ia mengekori kita atau kita mengekorinya sepanjang masa. Tidur baring kita bersamanya.

Di Malaysia, kita patut berbangga kerana statistik pada tahun 2018 menunjukkan sebanyak 81.2 peratus daripada penduduknya mempunyai akses dengan internet, jauh di depan Indonesia (39.8 peratus) dan sedikit di belakang Singapura (88.2 peratus).

Jangan nafikan bahawa kenaikan internet itu cukup banyak. Saya pernah menulis mengenainya pada keluaran-keluaran yang lalu. Manusia menciptanya, mengubahnya dan ia pun kemudian ‘mencipta’ dan mengubah kita pula. Perlahan-lahan tetapi jelas dan pasti.

Kini cara kita berhubung dengan kawan, cara kita berinteraksi dengan ibu bapa, cara melepaskan rindu kepada kekasih, cara bekerja, cara berfikir, cara belajar, cara mencari rezeki, sebahagian besarnya telah dibentuk oleh ‘benda ajaib’ itu.

Pengaruh

Ia tidak kelihatan tetapi kuasa dan pengaruhnya dapat dirasa. Ramai yang akan demam atau barangkali terus kena strok jika tiada talian internet selama beberapa hari.

Dahulu, sama ada di sekolah mahupun di universiti, kita lazimnya menjadi penerima yang pasif. Apa yang diajar, itulah yang kita terima dan percaya. Jarang benar kita boleh mengambil bahagian dalam proses pembe-lajaran itu secara aktif. Kalau ada sekali pun, ruangnya terbatas.

Sekarang, guru kita atau pensyarah kita, tidak kira berapa jumlah PhDnya, hanyalah seorang atau beberapa orang daripada ribuan, puluhan ribu atau ratusan ribu atau lebih banyak lagi, guru dan pensyarah lain yang sedia mengajar dan menjawab kemusykilan kita tanpa kekangan masa dan selalunya tanpa sebarang fi.

Bukanlah pelik jika suatu masa dahulu, seorang dewasa yang garang gebangnya di kedai kopi, menggeletar apabila bertanyakan soalan, misalnya kepada wakil rakyat yang mengadakan sesi dialog dengan penduduk kampung.

Ayatnya mungkin tunggang-langgang. Gemuruhnya akan tampak ketara. Malah, bukan pelik juga jika dia berkali-kali cuba mengangkat tangan untuk bertanya tetapi akhirnya tangan itu tidak terangkat dan dia balik memendam hasrat begitu sahaja.

Sekarang ini, seorang budak yang belum mumayyiz pun tidak perlu gementar jika dia mahu bertanya sesuatu, hatta kepada Joe Biden. Yang penting, dia hanya perlu mencari dan menemui saluran untuk melontarkan pertanyaan itu. Lebih daripada soalan pun boleh, termasuk mengkritik, mengutuk dan mencerca.

Sasterawan Negara, Allahyarham Datuk Abdullah Hussain dalam bukunya Gagak Di Rimba (1966) menceritakan bagaimana ketika beliau mengiringi Allahyarham Tan Sri P Ramlee dan beberapa orang lain ke kediaman Almarhum Tunku Abdul Rahman untuk merundingkan masalah yang sedang dihadapi anak-anak seni di Shaw Brothers ketika itu, beberapa kepala terjengah-jengah di sebalik tiang, mengintai P Ramlee.

Interaksi

Selebriti menjadi manusia terlarang pada masa dahulu. Ada tembok memisahkan orang macam kita dengan mereka. Tidak semua yang mereka buat kita tahu. Berpeluang terserempak di mana-mana sudah cukup untuk menimbulkan ghairah. Berhari, berminggu ia akan menjadi bahan cerita.

Sekarang ini, dari langit mana pun selebriti itu turun, dia tidak menjadi eksklusif lagi. Ruang untuk berinteraksi dengan mereka sentiasa ada, satu-satunya kekangan hanyalah sama ada mereka hendak melayan kita atau tidak.

Demikianlah. Sebagaimana dunia yang hilang sempadannya, tembok yang memisahkan manusia dengan apa sahaja hampir semuanya roboh dan ranap. Sekali-sekala, itulah yang patut kita gusarkan.

Anak-anak yang baik, yang penyantun, yang cukup menjaga tertib sopannya di depan orang tua-tua ada kalanya tidak kekal begitu apabila berhadapan dengan skrin desktop, laptop atau telefon genggam. Perongosnya kadang-kadang datang secara tiba-tiba. Sabarnya akan hilang entah ke mana.

Itu masih boleh dibawa berunding. Bagaimana dengan anak-anak pemalu yang bertukar menjadi manusia yang tidak berasa bersalah menaip perkataan-perkataan kesat, memaki hamun, berkongsi keburukan orang di komen laman-laman sosial?

Menyalahkan anak-anak sepenuhnya pun tidak boleh kerana ada emak bapa turut bergelumang dengan tabiat yang sama. Mengutuk, mengata, mengumpat, mencela sudah menjadi sesuatu yang sangat biasa.

Yang rendah ilmunya satu perkara, yang berilmu dan berkedudukan pun jarang terlepas daripada sihir teknologi ini.Masing-masing ghairah memanfaat-kan kebebasan tanpa dinding itu tanpa memikirkan lagi soal patut dan tidak.

Berkelakuan pelik-pelik, melakukan apa yang dahulunya dianggap onar, tidak lagi dilihat sebagai salah besar. Sebaliknya ia cara mudah untuk disebut di sana sini. Tidak mengapa dikeji asalkan dikenali.

ALLAH SWT menjadikan malu itu sebagai satu nikmat untuk dikecap oleh setiap insan yang waras akal fikirannya. Demikian juga perasaan bersalah. Ia juga nikmat. Malah, malu dan rasa bersalah itu juga adalah senjata yang menakutkan syaitan.

Saya bimbang. Sungguh, saya bimbang kalau sihir itu berterusan begini, akan sampai masanya nanti malu dan rasa bersalah itu akan turut menakutkan kita.

* Datuk Budiman Mohd Zohdi ialah Setiausaha Politik Menteri Wilayah Persekutuan


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!