Rasuah dan gaya hidup bermewah-mewah

Baik seorang pemimpin, penjawat awam waima ketua kampung, semakin besar kuasa yang dimiliki maka makin banyak jugalah lamaran rasuah yang datang.
Baik seorang pemimpin, penjawat awam waima ketua kampung, semakin besar kuasa yang dimiliki maka makin banyak jugalah lamaran rasuah yang datang.
A
A
A

MEMANG bukan satu rahsia lagi kuasa akan sentiasa dibayangi dengan godaan rasuah.

Baik seorang pemimpin, penjawat awam waima ketua kampung, semakin besar kuasa yang dimiliki maka makin banyak jugalah lamaran rasuah yang datang.

Hanya dengan kekuatan dan kesedaran integriti yang tinggi mampu menepis jerat rasuah.

Begitulah juga dengan kakitangan awam terutamanya melibatkan bahagian penguatkuasaan.

Apatah lagi pegawai polis, imigresen dan kastam yang menjadi kelompok frontliners berdepan dan berperang dengan sindiket serta penjenayah, godaan terhadap mereka juga tidak kurang hebat.

Maka tidak hairanlah, apabila Pengarah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman, Datuk Zamri Yahya tanpa berselindung mengakui ada pegawai dan anggota polis hidup bermewah-mewah di luar kebiasaan, ia tanda amaran kepada anggota sang saka biru.

Katanya, ada yang kerap bermain golf, ada yang kerap ke luar negara, ada yang memiliki rumah besar dan ada juga yang memandu kereta mewah.

Ternyata, gejala rasuah sebenarnya semakin membarah. Yang pasti, pandemik rasuah bukan setakat berlaku dalam kalangan anggota polis, bahkan jabatan penguat kuasa.

Artikel Berkaitan:

Beberapa minggu lalu, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berjaya membongkar sindiket penyeludupan warga asing yang menyaksikan ia turut disertai oleh kakitangan imigresen.

Ya sama seperti ditekankan Zamri, gaya hidup ‘bermewah-mewah’ adalah petunjuk kepada penglibatan anggota penguat kuasa.

Bayangkan bagaimana seorang anggota biasa boleh memiliki beberapa kenderaan mewah yang berharga jutaan ringgit.

Pendek kata, baik Bukit Aman, SPRM atau pihak atasan jabatan masing-masing, mereka perlu memantau gaya hidup kakitangan masing-masing.

Bukanlah untuk menafikan yang kemungkinan kekayaan itu dikumpul hasil perniagaan atau pelaburan, tetapi apabila gaya hidup mewah itu melampau-lampau, maka kebarangkalian berlakunya gejala rasuah sangatlah tinggi.