Emas punya pasal, sanggup langgar SOP

Kedai emas di sekitar Kota Bharu dikunjungi ramai susulan penurunan harga emas sejak minggu lepas.
Kedai emas di sekitar Kota Bharu dikunjungi ramai susulan penurunan harga emas sejak minggu lepas.
A
A
A

PANDEMIK Covid-19 yang melanda dunia hampir setahun lalu, bukan sahaja mengurangkan populasi manusia dengan kematian yang mencecah angka jutaan, malah turut menjejaskan ekonomi.

Dengan sistem ekonomi sesebuah negara yang bergantung kepada pasaran global, ia menyaksikan nilai beberapa bahan logam berharga dunia jatuh pada tahap paling teruk, penangan wabak Covid-19.

Situasi itu turut memberi kesan kepada pasaran emas sehingga harga logam berharga itu turun dengan begitu ketara sekali.

Kejatuhan harga itu telah mencatatkan kerugian tiga minggu berturut-turut disebabkan Covid-19.

Peniaga Phillip Futures Sdn Bhd, Leo Goh Boon Hao menjelaskan situasi itu tidak baik untuk emas sebagai aset selamat kerana pelabur cenderung mengumpul aset berisiko apabila keadaan tenang dan boleh dijangka.

Bagi asas dalam tempoh seminggu, perniagaan emas di Bursa Malaysia bagi kontrak November, Disember 2020 dan Januari 2021, masing-masing susut 10 mata pada RM252.75, RM258.50 dan RM256.00 per gram, manakala Februari 2021 merosot 220 mata pada RM240.00 per gram.

Kelmarin, dapat dilihat penurunan harga emas sebanyak 77 sen daripada RM233.83 berbanding RM234.62 per gram menyebabkan orang ramai terutama golongan wanita di Malaysia mengambil peluang membeli barang kemas kerana harganya murah dan ‘mampu beli’ sungguhpun dalam keadaan ramai yang hilang pekerjaan dan sumber pendapatan.

Namun, itu semua bukan halangan untuk rakyat Malaysia menunjukkan minat membeli emas.

Artikel Berkaitan:

‘Serbuan’ ke atas kedai emas bukan sahaja berlaku di Kelantan, malah kedai emas di Pahang turut menerima tempias.

Boleh dikatakan, sebaik sahaja harga emas jatuh, ramai tidak melepaskan peluang membeli bahan logam paling berharga itu.

Leka

Ia diakui oleh peniaga emas, Roslina Hamid yang mengesahkan penurunan harga ketara bahan logam itu sejak bulan lalu.

Menurutnya, keadaan itu menyebabkan pelanggan berkunjung ke kedainya seawal jam 11 pagi untuk membeli emas dan tidak menyangka harga akan turun serendah itu.

Bagi pelanggan, Siti Intan Husin, 40, dari Kampung Bukit Setongkol, Kuantan, Pahang, dia datang membeli emas yang ditempah bulan lalu bagi mendapatkan harga semasa iaitu RM233 per gram.

Katanya, dia buat tempahan gelang emas bulan lalu dan ketika itu harga semasa RM246 segram.

Namun, dalam kegairahan membeli emas murah, kebanyakan pelanggan sanggup berhimpit-himpit sehingga terlupa untuk mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dengan mengabaikan penjarakan fizikal, malah tidak memakai pelitup muka.

Selepas pelbagai kluster Covid-19 muncul, ia pastinya menggusarkan hati semua orang, apatah lagi setiap hari ada peningkatan kes positif dilaporkan.

Penulis mengandaikan akibat leka dan tidak mampu menahan diri, maka peminat emas sanggup membelakangi SOP yang digariskan Kementerian Kesihatan.

Sinar Harian turut melaporkan, kedai emas di Kota Bharu, Kelantan turut diserbu orang ramai berikutan harga emas yang rendah sejak seminggu lalu sehingga menyaksikan kebanyakan mereka gagal mematuhi SOP.

Keterujaan itu telah menyebabkan lebih 17 wanita dikompaun sebanyak RM1,000, manakala enam pemilik turut menerima nasib sama di Kelantan kelmarin.

Kompaun telah dikeluarkan, antaranya membabitkan kesalahan tidak menjaga penjarakan fizikal, berebut sehingga tolak-menolak kerana ghairah mahu membeli barang kemas murah.

Pemilik premis turut ingkar arahan PKP seperti gagal menyediakan penyukat suhu, selain mementingkan perniagaan sahaja tanpa menitik berat keselamatan pelanggan.

Ada yang berkata, kalau mampu beli emas takkan tak mampu bayar kompaun.

Tetapi bukan itu masalahnya kerana apa yang dibimbangi ialah muncul kluster baharu iaitu Kluster Kedai Emas!

* Norawazni Yusof ialah Wartawan Sinar Harian Edisi Pahang