Arab Spring belum berakhir

Arab Spring telah mencetuskan revolusi kebangkitan rakyat di rantau Arab pada tahun 2011. - Foto Agensi
Arab Spring telah mencetuskan revolusi kebangkitan rakyat di rantau Arab pada tahun 2011. - Foto Agensi
A
A
A

ARAB Spring sudah berlalu hampir sedekad, namun demonstrasi yang tercetus di beberapa negara pada tahun lalu jelas memaparkan semangat revolusi kebangkitan rakyat pada tahun 2011 masih menyala sehingga kini.

“Kemunculan gelombang pemberontakan di Algeria, Sudan, Lubnan dan Iraq menunjukkan Arab Spring tidak pernah ‘mati’. Ia berterusan di negara lain dengan tindakan kolektif yang sama,” kata pakar revolusi di rantau Arab, Asef Bayat.

Kira-kira sembilan tahun lalu, negara-negara yang terjerumus dalam konflik pada mulanya hanya terkena tempias revolusi kebangkitan rakyat di Tunisia, Mesir, Syria, Libya dan Yemen.

Pada tahun 2019, mereka melancarkan tuntutan sama yang menolak kemerosotan ekonomi, rasuah dan pemerintahan tidak responsif yang memicu protes di negara Arab sebelum ini.

“Pemacu utama Arab Spring terus bergelora dalam politik negara Arab,” ujar Arshin Adib-Moghaddam di School of Oriental and African Studies di London.

Menurut penulis buku berjudul On the Arab Revolts and the Iranian Revolution: Power and Resistance Today, revolusi pada tahun 2011 juga telah menjadi titik tolak yang mencetuskan gelombang protes baharu pada tahun 2019.

ALGERIA

Gelombang protes yang melanda negara itu pada tahun 2011 kerana membantah kenaikan harga makanan telah menggamit kenangan perang saudara yang melanda Algeria pada tahun 1992-2002.

Artikel Berkaitan:

Aktivis, Zaki Hannache, 33, berkata, trauma peperangan itu menghalang penduduk negara tersebut untuk mengadakan protes jalanan.

“Kami mengikuti perkembangan demonstrasi di Tunisia, Mesir dan Syria. Tetapi, kami juga takut,” jelasnya.

Bagaimanapun, rasa takut itu bertukar berang pada 22 Februari 2019 gara-gara Presiden Abdelaziz Bouteflika merancang untuk bertanding bagi penggal kelima selepas 20 tahun memegang tampuk pemerintahan.

Keputusan beliau untuk terus memerintah negara itu mencetuskan siri protes di bandar utama hingga menyaksikan kebangkitan rakyat di bawah gerakan protes Hirak yang sebelum ini menentang pemerintahan diktator untuk tempoh yang lama di Mesir dan Tunisia.

“Kami belajar daripada Arab Spring,” katanya.

Tentera Algeria juga mengikut jejak langkah pasukan keselamatan di Tunisia dan Mesir yang beralih sokongan terhadap pemerintah serta menyebabkan Bouterflika akhirnya akur meletak jawatan pada 2 April 2019.

Bagaimanapun, ia gagal menghentikan siri protes yang kemudiannya menuntut penambahbaikan sistem politik sejak Algeria memperoleh kemerdekaan pada tahun 1962.

Menurut Hannache, konflik perang saudara yang masih berlarutan di Syria merupakan salah satu perkara penting yang dipelajari mereka daripada Arab Spring.

“Pilihan yang ada adalah untuk memastikan protes ini berlangsung secara aman bagi memastikan revolusi ini berterusan,” tambahnya lagi.

IRAQ

Pencerobohan Amerika Syarikat (AS) pada tahun 2003 telah menggulingkan pemimpin diktator, Saddam Hussein sebelum protes di beberapa negara Arab menjatuhkan pemerintahan rejim dan memberikan kesan domino di rantau terbabit.

“Kami melihat Arab Spring sebagai peluang untuk menyelamatkan demokrasi di Baghdad,” kata aktivis, Ali Abdulkhaleq, 34.

Polis antirusuhan menggunakan semburan air untuk menyuraikan kumpulan protes di kawasan antara Dataran Tahrir di Baghdad dan daerah Zon Hijau yang menempatkan kedutaan asing. - Foto AFP
Polis antirusuhan menggunakan semburan air untuk menyuraikan kumpulan protes di kawasan antara Dataran Tahrir di Baghdad dan daerah Zon Hijau yang menempatkan kedutaan asing. - Foto AFP

Pada tahun 2011, Abdulkhaleq menubuhkan kumpulan Youth of February yang menganjurkan perhimpunan mingguan di Dataran Tahrir di Baghdad bagi memberi tekanan kepada pentadbiran bekas Perdana Menteri, Nouri al-Maliki yang dihimpit skandal rasuah.

“Rakyat menuntut pembaharuan dalam kerajaan,” laung kumpulan penunjuk perasaan tersebut.

Gerakan protes itu berterusan selama beberapa bulan sebelum ia mula menyaksikan titik perubahan pada Februari 2011.

Sejak itu, tunjuk perasaan tersebut berlarutan hampir setiap tahun sebelum ia mencapai kemuncak pada Oktober 2019 yang menuntut penambahbaikan politik sepenuhnya hingga memaksa kerajaan pimpinan bekas Perdana Menteri, Adel Abdul Mahdi meletak jawatan.

Pandemik Covid-19 dan tindakan kekerasan pasukan keselamatan yang meragut hampir 600 nyawa telah menghentikan gerakan protes tersebut.

Tetapi, Abdulkhaleq yakin revolusi baharu boleh tercetus semula pada bila-bila masa.

SUDAN

Pada tahun 2011, Arab Spring telah mencetuskan revolusi kebangkitan rakyat di Sudan yang bermula dengan kumpulan penunjuk perasaan berskala kecil.

Ketika itu, cengkaman pemerintahan bekas Presiden digulingkan, Omar al-Bashir yang memimpin negara itu sejak tahun 1989 masih kuat dan bantahan terhadapnya juga seakan-akan berpecah-belah.

Pada tahun 2013, pengaruh Arab Spring di Khartoum mencapai kemuncak selepas pemerintah menarik balik subsidi petrol hingga menyebabkan harga melambung tinggi dan memaksa rakyat mengadakan protes jalanan, sekali gus menjadikan lingkaran penentangan terhadap rejim Bashir semakin meluas.

Demonstrasi antikerajaan itu tercetus semula kira-kira lima tahun kemudian sebagai membantah kenaikan harga makanan dan ia berterusan sehingga tahun 2019.

Pada 11 April 2019, tentera mengenakan tahanan rumah ke atas Bashir.

Kira-kira empat bulan kemudian, tentera dan pemimpin protes menandatangani deklarasi Perlembagaan yang membawa kepada penubuhan majlis kedaulatan untuk perkongsian kuasa sebelum tempoh peralihan kepada pemerintahan awam.

Gerakan protes di Sudah dikatakan lebih teratur berbanding Arab Spring kerana ia diadakan secara aman walaupun pasukan keselamatan sengaja melakukan tindakan provokasi kerana mahu mencetuskan insiden pertempuran yang membawa kepada keganasan.

LUBNAN

Aktivis terkemuka, Imad Bazzi menjadi antara individu penting yang menuntut perubahan politik di Lubnan sejak tahun 1998 dan beliau melihat Arab Spring sebagai pendorong kepada perjuangannya.

“Revolusi kebangkitan rakyat itu seperti memberi harapan kepada kami. Ketika melihat perkembangan di Tunisia dan Mesir, saya terfikir bagaimana jika ia juga berlaku di negara ini,” katanya.

Pada Februari 2011, Bazzi yang ketika itu merupakan seorang penganggur mula menganjurkan siri protes pertama dan gerakan itu gagal mendapat momentum seperti di Tunis atau Kaherah.

Bagaimanapun, gelombang baharu tunjuk perasaan tercetus semula pada tahun 2015 sebagai membantah ketidakcekapan pengurusan sisa sampah.

Tunjuk perasaan itu mencapai kemuncak apabila demonstrasi mega menuntut penyingkiran ahli politik elit pada Oktober 2019 selepas pemerintah mengumumkan mahu mengenakan cukai terhadap panggilan menerusi aplikasi WhatsApp.

Gerakan tersebut yang menyasarkan keseluruhan kelas politik di Beirut menyebabkan bekas Perdana Menteri, Saad Hariri terpaksa akur dengan tuntutan penunjuk perasaan.

Setahun kemudian, pemimpin politik yang menjadi sasaran penunjuk perasaan masih kekal berkuasa malah Hariri juga kembali memegang jawatannya sebagai Perdana Menteri Lubnan.

Bagi Bazzi, episod itu menandakan babak ketiga dalam proses pembaharuan di negara tersebut yang bermula pada tahun 2011 dan berterusan sehingga ke hari ini. - AFP