GLC mampu selamatkan Liga-M

Saingan Liga-M musim ini dipalit dengan ancaman penularan pandemik Covid-19. - Foto FB PJ CITY FC
Saingan Liga-M musim ini dipalit dengan ancaman penularan pandemik Covid-19. - Foto FB PJ CITY FC
A
A
A

SYARIKAT berkaitan kerajaan (GLC) dilihat mampu memainkan peranan penting sebagai penyelamat kepada saingan Liga Malaysia (Liga-M) musim depan.

Bekas pemain kebangsaan, Datuk Jamal Nasir Ismail berkata, GLC perlu bersedia membantu memberikan tajaan dalam usaha memastikan saingan liga domestik yang merupakan sukan nombor satu negara ini dapat terus berlangsung.

“Memang kita tahu banyak yang terkesan dengan Covid-19 ini. Bukan saya nak kata utamakan bola sepak dalam keadaan sekarang ini, tetapi kita perlu melihat ia sebagai sukan utama di negara kita.

“Saya percaya GLC ini tidaklah terlalu terkesan dengan pandemik sekarang ini kerana perniagaan mereka lebih kepada pelaburan. Malah, GLC ini juga membayar cukai, apabila mereka membantu mana-mana sukan, maka mereka akan dikecualikan cukai.

“Bagi saya, penglibatan GLC ini jika boleh dilakukan adalah satu tindakan murni kerana sukan ini bukan sahaja sebagai industri tetapi ia merupakan elemen penting dalam menjamin kesihatan, pembangunan sosial dan sahsiah rakyat,” katanya kepada Sinar Harian semalam.

Terdahulu, MFL mengumumkan dua penaja utama saingan Liga-M iaitu CIMB dan AirAsia telah mengumumkan untuk menarik diri daripada melanjutkan tajaan dalam saingan Liga-M musim depan.

Perkhabaran itu sekali gus menimbulkan kesukaran buat FAM dan MFL untuk mencari penaja baharu dalam masa terdekat sebelum saingan Liga-M 2021 membuka tirainya pada 26 Februari depan.

Begitupun, MFL mungkin mampu menghela nafas lega apabila Telekom Malaysia (TM) dilaporkan kekal komited untuk menjadi penaja Liga-M manakala F&N100Plus pula sedia meneruskan komitmen tajaan berbentuk barangan.

Artikel Berkaitan:

Mengulas lanjut, Jamal Nasir memberitahu, penglibatan pihak kerajaan juga penting dalam memastikan GLC bersedia tampil memberikan sumbangan penajaan kepada industri sukan negara.

“Saya fikir mungkin kerajaan boleh membantu kalau tidak pun dalam tempoh yang lama mungkin untuk tempoh sepanjang tahun 2021 sahaja. Kerajaan boleh meminta GLC ini memberikan sumbangan kepada industri sukan bagi memastikan persatuan-persatuan sukan kebangsaan kembali stabil.

“Beberapa GLC sudah mengumumkan untung sehingga berbilion ringgit. Sebagai contoh, Tenaga Nasional Berhad (TNB) yang mungkin boleh menghulurkan tajaan RM1 juta atau RM2 juta kepada industri sukan.

“Lagi pun, untuk tahun depan sudah banyak pertandingan sukan besar yang bakal berlangsung dan memerlukan peruntukan yang banyak. Begitu juga dengan bola sepak yang akan mengharungi saingan kelayakan Piala Asia dan Piala Dunia,” jelasnya.