Bekas jurutera hasilkan permainan berasaskan nombor

Abdul Ahmadil Razman menunjukkan permainan berasaskan nombor, Maths Board Game yang dihasilkannya bagi meningkatkan kemahiran matematik dalam kalangan kanak-kanak dan murid sekolah secara kaedah bermain sambil belajar.
Abdul Ahmadil Razman menunjukkan permainan berasaskan nombor, Maths Board Game yang dihasilkannya bagi meningkatkan kemahiran matematik dalam kalangan kanak-kanak dan murid sekolah secara kaedah bermain sambil belajar.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Usaha menarik minat kanak-kanak terhadap mata pelajaran Matematik mendorong seorang bekas jurutera tampil dengan permainan berasaskan nombor yang pertama kali seumpamanya dihasilkan di negara ini.

Pengasasnya, Abdul Ahmadil Razman Abdul Majid yang berpengalaman luas selama 20 tahun dalam bidang kejuruteraan awam serta pembinaan berkata, permainan berasaskan nombor Maths Board Games itu dihasilkannya sendiri.

Menurutnya, idea menghasilkan permainan berasaskan nombor itu timbul kerana ingin membantu meningkatkan kemahiran matematik dalam kalangan kanak-kanak dan murid sekolah dengan cara yang lebih menarik.

“Maths Board Games mengandungi sembilan permainan berasaskan nombor di mana setiap satunya berbeza-beza di mana kaedah bermain dengan nombor ini akan membuatkan kanak-kanak berlumba untuk meraih kemenangan dan secara automatik kanak-kanak itu sendiri akan terus mahir dengan sifir.

“Sifir itu sendiri adalah jantung dan nadi kepada subjek Matematik, tanpa pengetahuan tentang sifir, kanak-kanak dan murid sekolah khususnya yang baru bermula mengenal nombor akan terus berasa bosan serta benci dengan subjek Matematik. Namun Maths Board Games ini mereka boleh bermain sambil belajar," katanya ketika ditemui di sini semalam.

Dalam pada itu, Abdul Ahmadil Razman berkata, mereka yang memiliki Maths Board Games juga boleh menyertai saluran Telegram yang mana di dalamnya mengandungi 30,000 soalan matematik, nota padat asas nombor sehingga Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR), video-video teknik pantas mengira dua dan tiga angka serta banyak lagi.

Ujarnya lagi, pihaknya sudah mendapat kebenaran daripada Kementerian Pendidikan untuk menjalankan Program Perkongsian Ilmu Sifir dan Matematik secara percuma di 3,087 buah sekolah rendah di enam negeri iaitu Johor, Melaka, Selangor, Pahang, Pulau Pinang dan Perlis pada tahun ini.

Bagaimanapun katanya, program berkenaan terpaksa ditunda berikutan pandemik Covid-19 yang melanda negara.

Artikel Berkaitan:

“Disebabkan tertundanya program perkongsian ilmu ini, saya mengambil inisiatif dengan menghasilkan permainan nombor matematik ini bagi membantu meningkatkan lagi kemahiran matematik golongan ini.

“Mereka boleh menggunakan masa sebaiknya ketika berada di rumah sepanjang musim Covid-19 ini dengan sesuatu yang lebih berfaedah iaitu dengan cara bermain sambil belajar,” katanya.