X

Kindly register in order to view this article
!

Produk kerepek dari Banting masyhur

A
A

Apabila menyebut makanan ringan warisan dan tradisional, pasti kita akan mengingati aneka kudapan atau kerepek yang terkenal di beberapa lokasi di negara ini.

Mengikut Kamus Pelajar Edisi Kedua, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), kerepek ialah ubi kayu, pisang dan sebagainya dihiris tipis, dijemur dan digoreng.

Di Malaysia, penghasilan pelbagai kerepek sangat terkenal di beberapa lokasi antaranya di Banting, Kuala Selangor dan Sepang di Selangor dan Batu Pahat di Johor kerana ia amat sinonim dengan masyarakat Jawa. Tiada kajian yang dapat membuktikan asal kerepek kerana ia menjadi kudapan sejak dahulu.

Kerepek dari Banting merupakan kerepek popular di negara ini sejak 1980-an, malahan penghasilannya telah merancakkan aktiviti ekonomi penduduk di daerah itu. Industri kerepek telah memacu kepada pertumbuhan usahawan di kawasan sekitar dan ada antaranya menjadi usahawan perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

Antara kampung yang terkenal dengan perusahaan kerepek ialah Kampung Kanchung Darat, Kampung Sungai Lang, Kampung Sungai Kelambu dan dan Kampung Batu Laut.

Ros K Enterprise (Ros) antara usahawan berjaya yang telah membantu sosio ekonomi penduduk setempat dengan menggalakkan mereka menjadi pembekal bahan mentah penghasilan kerepek seperti ubi kayu, pisang, cili dan sebagainya.

Selain itu, perusahaan kerepek juga menjadi daya tarikan utama pelancong tempatan dan luar negara untuk membeli kerepek sebagai buah tangan atau kudapan.

Pemiliknya, Muhammad Fauzi Ruslan berkata, kapasiti pengeluaran kerepek Ros mencecah sehingga dua tan pada setiap hari menyebabkan pihaknya tidak mempunyai bekalan bahan mentah yang mencukupi.

“Untuk memenuhinya, kami menggalakkan penduduk setempat menanam ubi kayu dan pisang untuk menjadi pembekal kepada kami.

“Ia secara tidak langsung mewujudkan peluang perniagaan dan pekerjaan kepada penduduk dalam bidang pertanian serta tanah dimanfaatkan,” katanya.

Rangkaian pembekal ke seluruh negara

Muhammad berkata, Ros bukan sahaja berperanan sebagai pengeluar dan pengilang perusahaan kerepek, malah turut menjadi pembekal utama kepada jaringan usahawan kerepek di seluruh negara sebagai strategi untuk mengukuhkan perniagaan tersebut.

“Saya mahu berkongsi rezeki dan membina jaringan perniagaan kerepek bersama usahawan lain dengan menyediakan platform kepada mereka untuk menceburi perniagaan kerepek dan menawarkan segmen pengeluar produk tulen (OEM) kepada usahawan. Mereka bukan sahaja menjadi pembeli tetapi juga bertindak sebagai pemborong.

“Buat masa ini, lebih 300 usahawan berurusan bersama Ros dan kami menyasarkan angka itu akan meningkat pada masa akan datang.

“Menariknya ada dalam kalangan usahawan ini menggunakan jenama sendiri sekali gus ia meningkatkan usahawan PKS sekali gus menyumbang kepada ekonomi negara,” katanya.

Kewujudan usahawan segera

Beliau berkata, usahawan kerepek Ros juga membantu menjana pendapatan kepada golongan sasaran tertentu seperti suri rumah, pelajar dan kalangan profesional yang menjadikan perniagaan kerepek sebagai kerjaya sampingan.

“Ketiga-tiga golongan ini menjadi stokis, pengedar, ejen dan dropship kepada usahawan kerepek yang mengambil bekalan kerepek dari Ros.

“Ini adalah pengembangan ekonomi yang diterajui oleh Ros yang hanya beroperasi di sebuah kampung di Banting. Mereka boleh menjana pendapatan sehingga empat angka sebulan.

“Saya tidak menyangka, perusahaan kerepek yang dimulakan oleh ibu dan ayah untuk tujuan menampung perbelanjaan keluarga telah memberikan manfaat kepada orang ramai pada hari ini,” katanya.

Muhammad Fauzi berkata, Ros juga menjadi pusat sehenti dengan mengumpulkan produk perusahaan kecil dan sederhana (PKS) penduduk setempat yang melakukan perniagaan kerepek hanya dari dapur rumah mereka.

“Kami sebagai vendor memberikan peluang kepada mereka meletakkan produk di premis kami yang terletak di Kanchong Darat,” katanya.

Fazzly kukuhkan Kerepek Fazz

Peneraju perniagaan kerepek terkenal di Banting, Fazz Industries Sdn Bhd (Fazz) yang mengeluarkan kerepek berjenama Fazz diusahakan sejak 36 tahun lalu merupakan milik suami isteri dari Banting, Selangor.

Pengurusnya, Fazzly Mahmudin berkata, perniagaan ini bermula apabila ayahnya yang juga pengasas kerepek Fazz, Mahmudin Abas membuat kerepek untuk makan sendiri dan dinikmati bersama kawan-kawan di tempat kerja.

“Selepas mereka merasai kerepek ubi dan pisang, mereka mula menempah daripada ayah kerana kerepek yang dihidangkan adalah lain daripada yang lain.

Melihat kepada permintaan tersebut, ayah menjalankan perniagaan kerepek dengan membungkusnya dalam saiz yang kecil.

“Permintaan kerepek tersebut semakin meningkat dari semasa ke semasa. Ayah mengambil keputusan untuk memasarkannya di kilang-kilang dan kantin kilang sekitar Shah Alam,” katanya.

Fazzly berkata, perniagaan kerepek tersebut semakin berkembang menyebabkan ayahnya nekad berhenti kerja dan memfokuskan perniagaan tersebut secara serius pada tahun 1982 bermodalkan RM1,000.

“Mereka memproses kerepek dalam sebuah bengkel di tepi rumah kami sahaja. Sejak itu, perniagaan kerepek Fazz semakin berkembang dan hasil perniagaan itulah ayah menyara kami sekeluarga,” katanya.

Menurut Fazzly, beliau diamanahkan oleh ayahnya untuk menguruskan perniagaan kerepek Fazz di Banting pada 2003.

Wujudkan rantaian perniagaan

Fazzly berkata, kebanyakan bahan mentah kerepek Fazz diperolehi daripada pembekal yang merupakan penduduk sekitar Banting.

“Fazz hanya mempunyai ladang sendiri seluas 30 ekar sahaja dan tidak dapat menampung permintaan tinggi kerepek Fazz. Untuk mendapatkan bekalan ubi kayu dan pisang, Fazz menggalakkan penduduk setempat untuk menanam kedua-duanya serta membekalkannya kepada Fazz,” katanya.

Tambahnya, selain menggalakkan penduduk setempat menjadi petani, Fazz juga menjadi pengilang kepada dan platform kerepek kepada 500 pemborong kerepek dari seluruh negara.

Selain melahirkan usahawan Fazz juga mewujudkan peluang pekerjaan kepada penduduk setempat.

Beliau berkata, Fazz juga menyediakan kedai sebagai pusat sehenti memasarkan produk IKS daripada penduduk sekitar Banting terutamanya suri rumah dan ibu tunggal untuk menjana pendapatan mereka.

“Ia adalah kerana Fazz menjadi tumpuan orang ramai untuk mendapatkan kerepek.Untuk memenuhi permintaan tersebut, Fazz menawarkan lebih 150 produk berasaskan kerepek dan produk IKS lain dengan harga yang berpatutan,” katanya.

Tambah Faqzzly, antara produk paling laris ialah kerepek pisang dan ubi kayu pelbagai perisa menyumbang sebanyak 80 peratus terhadap jualan Fazz.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!