X

Kindly register in order to view this article
!

Covid-19 dorong manusia kuasai teknologi terkini

Isfadiah pada Wacana Al-Quran Siri 32 bertajuk 'Impak Kesihatan Pembelajaran Online' di Kumpulan Karangkraf di sini yang disiarkan secara langsung di Facebook Sinar Harian hari ini. - FOTO ASRIL ASWANDI SHUKOR
A
A

SHAH ALAM - Umat Islam perlu reda dan menerima hakikat bahawa pandemik Covid-19 bukan sahaja mengajar, malah memaksa mereka untuk menguasai internet serta teknologi terkini bagi meneruskan kelangsungan kehidupan.

Pengarah Akademi Keluarga Fitrah & Ikon Dakwah Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim), Ustazah Isfadiah Mohd Dasuki berkata, umat Islam tidak boleh menolak perkara ini kerana ia sangat berkait rapat dengan apa yang akan berlaku pada masa depan, tambah lagi jika pandemik berkenaan berterusan sehingga tahun 2021.

"Secara positifnya, apabila menyebut dunia atau teknologi baharu ia bermakna umat Islam perlu menjadi 'champion'.

"Kita perlu ke depan dalam penggunaan peralatan dan internet serta tidak boleh lagi hanya berbincang dari sudut bahawa teknologi baharu ini mendatangkan bebanan atau stres.

"Kita perlu menyambut perkara itu dengan penuh tanggungjawab," katanya pada Wacana Al-Quran Siri 32 bertajuk 'Impak Kesihatan Pembelajaran Online' di Kumpulan Karangkraf di sini yang disiarkan secara langsung di Facebook Sinar Harian hari ini.

Turut menjadi panelis ialah Pakar Psikologi Klinikal International University of Malaya-Wales, Dr Mimi Fitriana Zain; sementara Ketua Pegawai Penyelidik, Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF), Fazrul Ismail bertindak sebagai moderator dan Ustaz Husaini Mahmur selaku qari jemputan yang memperdengarkan bacaan surah al-An'am (ayat 141) dan surah Yunus (ayat 57).

Isfadiah  berkata umat Islam tidak boleh menolak teknologi kerana ia sangat berkait rapat dengan apa yang akan berlaku pada masa depan.
Isfadiah berkata umat Islam tidak boleh menolak teknologi kerana ia sangat berkait rapat dengan apa yang akan berlaku pada masa depan.

Isfadiah berkata, pada masa yang sama, amat penting untuk umat Islam khususnya ibu bapa mendidik serta mendisiplinkan diri anak-anak supaya mereka sentiasa amanah dan berintegriti apabila menggunakan gajet atau ketika melayari internet.

Menurutnya, ibu bapa perlu berusaha memastikan anak-anak sedar bahawa ALLAH sentiasa memerhatikan dan melihat apa saja pilihan yang mereka ambil.

"Tambah lagi gajet atau internet ini diibaratkan seperti 'pisau' dan tahun 2020 ini adalah tahun yang kita terpaksa membuat anak-anak memegang pisau untuk pembelajaran secara 'online' terutamanya.

"Jadi ibu bapa perlu bekerjasama dengan guru untuk berdepan cabaran 'pisau-pisau' ini dan pada masa yang sama perlu mengajar anak-anak untuk menjadi matang bukan saja dalam aspek pembelajaran tetapi juga bagaimana untuk mereka menjadi pemimpin (amanah) kepada diri sendiri," katanya.

Dalam pada itu, Isfadiah turut mengingatkan apabila seseorang itu sedang berhubung dengan dunia maya, mereka tidak boleh lupa kepada dunia fizikal dan perlu sentiasa mengutamakan empat keperluan ini iaitu dari sudut IQ (kecerdasan akal), EQ (kecerdasan emosi), PQ (kecerdasan fizikal) serta SQ (kecerdasan rohani).

Katanya, dalam konteks penggunaan internet dan pembelajaran 'online' juga, ALLAH mengingatkan seseorang itu perlu mengambil faedah atau manfaat daripada media sosial atau internet, kemudiannya berkongsi maklumat itu untuk membantu orang lain pula.

"Seterusnya ALLAH juga ingatkan dengan nikmat yang diberi-Nya, jangan sesekali kita melampaui batas, membazir atau menggunakan nikmat yang diberikan dengan sesuka hati kerana akan dianggap kufur nikmat," katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!