Moderator main peranan penyatuan semula Semenanjung Korea

Video persidangan Muhammad Nasir di Virtual International Leadership Conference pada 29 November lalu.
Video persidangan Muhammad Nasir di Virtual International Leadership Conference pada 29 November lalu.
A
A
A

SHAH ALAM - Moderator perlu memainkan peranan sebagai orang tengah yang tidak berpihak kepada sesiapa untuk memastikan penyatuan semula Semenanjung Korea berada dalam keadaan yang aman.

Timbalan Pengerusi Lembaga Pengarah Kumpulan Karangkraf, Datuk Muhammad Nasir Hamzah dalam satu sesi persidangan Virtual International Leadership Conference berkata, dalam rundingan apa pun, moderator mesti diterima dan disambut baik oleh kedua-dua belah pihak.

"Moderator tidak boleh dilihat hanya memihak kepada satu pihak sahaja, tetapi ia mesti disukai kedua-dua pihak," katanya yang juga salah seorang ahli panel dalam sesi itu pada kelmarin.

Menurutnya, proses penyatuan semula kedua-dua negara oleh pihak Amerika Syarikat itu gagal kerana Amerika Syarikat dilihat lebih mengutamakan Korea Selatan berbanding Korea Utara dan tidak berminat tentang penyatuan itu.

“Amerika Syarikat seolah-olah lebih berminat untuk menyebarkan lebih banyak pengaruh di Semenanjung Korea daripada proses penyatuan itu sendiri.

“Itulah sebabnya untuk melihat penyatuan, kedua-dua pihak mesti melihat siapa yang harus menjadi moderator terbaik, siapa yang boleh diterima dan selesa untuk kedua-duanya,” katanya.

Dalam sesi bertajuk ‘Peaceful Reunification of the Korean Peninsula: Korean War 70th Anniversary’ itu, Muhammad Nasir menegaskan bahawa penyatuan itu tidak mustahil sekiranya Korea Utara dan Korea Selatan sentiasa ikhlas, jujur ​​dan komited untuk disatukan semula.

“Kebanyakan Korea Utara dan Selatan tergolong dalam satu keluarga dan etnik yang sama serta mempunyai persamaan dalam hampir semua perkara, yang mana perbezaannya hanyalah ideologi.

Artikel Berkaitan:

“Kedua-dua pihak mesti mengorbankan ego, rela melepaskan beberapa perkara yang paling mustahak kerana kadangkala, kita tidak boleh menang semua atau kalah dalam rundingan apa pun,” katanya.

Beliau menzahirkan sokongannya terhadap usaha Persekutuan Keamanan Sejagat (UPF) untuk penyatuan semula semenanjung Korea secara damai dan menjalin hubungan harmoni antara negara-negara di Asia Tenggara.

UPF mengadakan Virtual International Leadership Conference pada 21 November lalu secara maya serta disiarkan di Seoul pada 22 November.

Kejayaan pertama konferens maya tersebut kemudiannya disusuli dengan penganjuran konferens kedua yang bertemakan ‘The Peaceful Reunification of the Korean Peninsula and a Unified World of Peace pada 29 November lalu.