X

Kindly register in order to view this article
!

Kanak-kanak pasca-Covid-19

A
A

PETANG Ahad lalu, saya ke Aeon Mall, Shah Alam untuk bertemu dengan seorang teman. Masya-ALLAH, setibanya saya di kawasan pusat beli-belah tersebut, saya berdepan dengan kesesakan trafik. Saya mengambil masa 20 minit sebelum mendapat ruang parkir.

Ramainya orang pada hari itu. Ada berbelas orang di hadapan saya menanti giliran untuk mendaftar MySejahtera di pintu masuk.

Di ruang legar Aeon Mall, saya lihat pengunjung di mana-mana. Namun, masing-masing kelihatan fokus, tidak banyak berbual dengan teman.

Begitu juga apabila saya memasuki gedung pakaian. Masing-masing memilih busana secara sendiri-sendiri dalam satu-satu lorong pakaian. Kalau boleh, mereka tidak mahu bertembung dan berselisih. Bila terserempak, masing-masing akan beredar ke arah lain.

Di restoran dan medan selera, keadaannya begitu berbeza. Pengunjung kelihatan relaks berbual tanpa memakai pelitup muka. Mereka memesan makanan yang pelbagai, barangkali kerana rindukan suasana santai sambil menjamu selera. Tiba-tiba seorang kanak-kanak menerpa ke kaki saya!

Saya terkejut seketika melihat kanak-kanak comel itu. Si ibu yang muncul lantas memohon maaf kerana anaknya telah merempuh saya.

“Tak apalah puan. Cucu saya pun suka main kejar-kejar, kemudian lari dan terpa ke kaki saya,” jawab saya.

Apabila kanak-kanak dan si ibu berlalu, saya perasan ketiadaan kanak-kanak di pusat beli-belah itu. Di mana mereka?

Selain kanak-kanak tadi, saya nampak seorang dua sahaja kanak-kanak di kawasan sekeliling saya. Kasihannya kanak-kanak. Kerana Covid-19, mereka terpaksa duduk di rumah.

Saya teringat betapa cucu saya menangis apabila mendapat tahu Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dilanjutkan dan sekolah ditutup.

Dia sedih kerana rindukan kawan-kawannya dan suasana pembelajaran di sekolah. Seorang teman saya mengatakan bahawa anaknya juga begitu sedih kerana tidak dapat ke sekolah.

Belajar secara online pun dia tidak suka kerana tidak mahu duduk membatu menumpukan perhatian ke skrin komputer. Jika tiada ibunya di sisi, dia tidak akan hadiri kelas. Pendek kata, dia lebih kerap ponteng daripada menghadiri kelas.

Menangis

Pandemik Covid-19 memaksa kita semua mematuhi prosedur operasi standart (SOP). Inti utama penjagaan diri daripada terkena Covid-19 dan memutuskan rantaian adalah mengurangkan interaksi dengan orang lain, khususnya mereka yang bukan serumah. Kesan daripada SOP itu, kita berasa terkurung dan terpisah daripada orang lain.

Namun, bagaimana pula dengan kanak-kanak? Semua itu baharu buat mereka. Kanak-kanak yang fitrahnya belajar melalui bermain tidak punyai peluang bebas mengekspresi perasaan dengan suasana di sekitar mereka.

Bangun pagi lihat muka ibu dan ayah serta ahli keluarga sahaja. Medium mereka melihat dunia adalah melalui komputer dan televisyen.

Alat-alat itu hanya mengajar ilmu melalui tontonan. Pelajaran melalui apa-apa perisian mahupun melalui program sudah tentu tidak mencukupi.

Oleh sebab mereka sentiasa ada di rumah, ibu bapa perlu mengisi peluang itu mendidik anak mereka dengan soft skills termasuk adat dan adab.

PKP dan lain-lain perintah yang sewaktu dengannya akan memisahkan kanak-kanak dengan dunia yang sepatutnya. Tempoh pandemik Covid-19 akan berpanjangan. Setahun, apatah lagi dua tahun sudah cukup untuk membentuk peribadi anak-anak.

Misalnya, anak-anak lelaki yang lama tidak ke masjid dikhuatiri tidak punyai hati untuk ke sana kerana berasakan solat di rumah sudah memadai.

Sementara anak-anak perempuan pula, oleh sebab tidak biasa bergaul dengan mereka di luar lingkungan keluarga, mungkin akan membesar dengan sikap rendah diri kerana tiada kemahiran berkomunikasi dengan orang lain.

Mungkin mereka akan kembali jadi pemalu bak gadis pingitan seperti moyang mereka!

* Norden Mohamed ialah mantan Ketua Pengarang Sinar Harian


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!