Devan ketua jurulatih baharu Negeri Sembilan FC

K Devan
K Devan
A
A
A

BEKAS pengendali Petaling Jaya City FC (PJ City FC) K Devan hari ini diumumkan sebagai ketua jurulatih baharu pasukan Liga Premier, Negeri Sembilan FC bagi menghadapi saingan Liga Malaysia (Liga-M) musim hadapan.

Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Sembilan (PBNS), Tunku Syed Razman Tunku Syed Idrus Al-Qadri dalam kenyataan di sini memaklumkan keputusan itu dicapai selepas sesi temu duga jawatan berkenaan yang dikendalikan ahli jawatankuasa eksekutif persatuan itu semalam.

“K Devan berusia 59 tahun ialah bekas pemain Negeri Sembilan dan jurulatih tempatan yang berpengalaman, selain beliau juga antara jurulatih yang mengumpul trofi kejuaraan paling banyak sepanjang karier sebagai ketua jurulatih.

“Anak kelahiran Bahau, Jempol ini mencapai pelbagai kejayaan dengan kelab-kelab yang pernah dibimbingnya dan saya yakin dan percaya dengan pengalaman serta pencapaian yang beliau peroleh itu dapat membimbing pasukan untuk layak ke saingan Liga Super 2022,” katanya.

Musim ini, Negeri Sembilan di bawah bimbingan ketua jurulatih Sazali Saidon menamatkan saingan Liga Premier pada kedudukan kedua tercorot daripada 12 pasukan selepas mencatatkan tiga kemenangan, dua seri dan enam kekalahan. - Bernama

Artikel Berkaitan: