Pahang perkenal sistem bintang premis patuh SOP Covid-19

Abd Rahim (tiga, kanan) menyampaikan sijil penarafan kepada Mohd Khairul Hisham (tiga, kiri) disaksikan Hamdan (dua, kanan) di Pusat Jaja Dataran Sekilau di Kuantan hari ini.
Abd Rahim (tiga, kanan) menyampaikan sijil penarafan kepada Mohd Khairul Hisham (tiga, kiri) disaksikan Hamdan (dua, kanan) di Pusat Jaja Dataran Sekilau di Kuantan hari ini.
A
A
A

KUANTAN - Kerajaan Pahang akan memperkenalkan sistem penarafan bintang bagi premis perniagaan di setiap daerah di negeri ini dalam usaha membudayakan normal baharu ketika pandemik Covid-19.

Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Abd Rahim Muda berkata, penarafan itu dikawal selia pihak berkuasa tempatan (PBT) membabitkan daerah masing-masing.

"Sistem ini menggunakan kaedah sama dilaksanakan Majlis Perbandaran Kuantan (MPK) yang memulakan pemeriksaan ke atas 69 premis perniagaan sejak 4 November lalu mengikut spesifikasi pemarkahan ditetapkan.

"Daripada jumlah itu, dua premis perniagaan menerima penganugerahan lima bintang kerana berjaya melaksanakan pembudayaan normal baharu Covid-19 dengan kadar pematuhan tinggi.

"Premis itu ialah Pusat Jaja Dataran Sekilau dan Hotel Zenith Kuantan yang mendapat penarafan lima bintang,' katanya.

Menurutnya, sistem rating ini diwujudkan untuk memastikan keyakinan masyarakat ke atas premis perniagaan yang mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan.

"Contohnya dari segi pemeriksaan suhu, 'hand sanitizer' dan rekod kemasukan premis. Ini adalah usaha MPK yang sangat teliti dan praktikal bukan sahaja semasa pandemik, bahkan untuk waktu-waktu yang lain supaya masyarakat yang datang yakin bahawa premis tersebut mematuhi SOP ditetapkan.

"Sistem ini akan dikembangkan ke seluruh premis di bandar-bandar mahupun luar bandar di seluruh negeri Pahang," katanya pada sidang media di sini hari ini.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Yang Dipertua MPK, Datuk Hamdan Hussin berharap usaha MPK mewujudkan sistem pemarkahan bintang itu akan menjadikan peniaga lebih berdedikasi dan bertanggungjawab melaksanakan SOP Covid-19.

"Selain meningkatkan keyakinan masyarakat Kuantan dan luar Kuantan untuk datang ke daerah ini, ia juga dapat memastikan semua peniaga di Kuantan boleh terus berniaga dengan mudah.

"Ertinya kalau mereka sudah patuh SOP, mereka pun senang dan dapat berniaga dengan mudah. Mereka tak terganggu dengan pelaksanaan penguatkuasaan yang kami lakukan dalam memastikan SOP dipatuhi," katanya

Bagi penyelia Pusat Jaja Dataran Sekilau, Mohd Khairul Hisham Omar yang juga Pengerusi Persatuan Peniaga Pasar Tani, pengiktirafan tersebut akan memangkin semangat peniaga untuk terus memperkemaskan pelaksanaan SOP.

"Apabila adanya satu penghargaan kepada peniaga yang amalkan SOP yang dikeluarkan kerajaan, maka anugerah ini jadi penaik semangat bukan sahaja kepada peniaga bahkan sebagai penyelaras yang anjurkan kawasan ini.

"Kami akan terus pastikan kita kekal dapat lima bintang. Kita merakamkan terima kasih kepada Datuk Abd Rahim dan MPK yang melaksanakan sistem penarafan bintang ini.," katanya.