Aktiviti vulkanik tiga gunung berapi di Indonesia meningkat

Gunung berapi Semeru memuntahkan debu panas sejauh 3,000 meter di lereng bukit hingga mencetuskan panik kepada penduduk kampung sekitar awal pagi tadi. - Foto AFP
Gunung berapi Semeru memuntahkan debu panas sejauh 3,000 meter di lereng bukit hingga mencetuskan panik kepada penduduk kampung sekitar awal pagi tadi. - Foto AFP
A
A
A

JAKARTA - Pihak berkuasa Indonesia sedang mengawasi beberapa gunung berapi selepas peningkatan aktiviti dikesan sensor sejak beberapa minggu lalu hingga memaksa ribuan penduduk dipindahkan.

Awal pagi tadi, gunung berapi Semeru di Jawa Timur memuntahkan debu panas sejauh 3,000 meter dan turut mencetuskan panik dalam kalangan penduduk kampung.

Jurucakap Agensi Mitigasi Bencana Nasional, Raditya Jati berkata, beberapa perkampungan sekitar gunung setinggi 3,676 meter di daerah Lumajang itu turut diselaputi debu dan sulfur.

“Pihak berkuasa masih cuba memindahkan kira-kira 550 penduduk yang tinggal di lereng Semeru. Tiada laporan kecederaan atau kemusnahan teruk akibat kejadian tersebut,” katanya.

Ketika ini, Pusat Mitigasi Bahaya Vulkanologi dan Geologi masih belum menaikkan status amaran Semeru yang diletakkan pada tahap ketiga tertinggi sejak ia mula meletus pada Mei lalu hingga melarang penduduk kampung dan pelancong berada dalam kawasan lingkungan empat kilometer daripada kawah.

Letusan Semeru berlaku dua hari selepas gunung berapi Ili Lewotolok di Pulau Lembata di wilayah Nusa Tenggara Timur membebaskan awan panas setinggi 4,000 meter ke permukaan udara yang turut menyebabkan lebih 4,600 penduduk dipindahkan.

Kelmarin, agensi vulkanologi menaikkan tahap amaran gunung berapi setinggi 1,423 meter itu kepada tahap kedua tertinggi selepas sensor mengesan peningkatan aktiviti sejak ia mula meletus pada Oktober 2017.

Di kawasan lain di Pulau Jawa, lebih 1,800 penduduk yang tinggal di lereng gunung berapi Merapi yang terletak kira-kira 30 kilometer dari pusat bandar Yogyakarta telah dipindahkan sejak awal bulan lalu susulan aktiviti vulkanik yang semakin meningkat.

Artikel Berkaitan:

Pihak pentadbiran tempatan di wilayah Jawa Tengah dan Yogyakarta kini sedang memantau perkembangan Merapi sejak agensi geologi menaikkan amaran gunung berapi setinggi 2,968 meter di kepada tahap kedua tertinggi selain menasihatkan orang ramai supaya tidak berada pada jarak lima kilometer daripada kawah.

Sementara itu, pihak berkuasa di wilayah Sumatera Utara juga sedang mengawasi gunung berapi Sinabung yang juga menunjukkan peningkatan aktiviti vulkanik sejak Ogos lalu. - Agensi