Covid-19 di Selangor masih terkawal: Amirudin

Kerajaan Selangor melaksanakan beberapa usaha bagi mengurangkan risiko jangkitan wabak Covid-19.
Kerajaan Selangor melaksanakan beberapa usaha bagi mengurangkan risiko jangkitan wabak Covid-19.
A
A
A

SHAH ALAM - Situasi pandemik Covid-19 di Selangor masih terkawal walaupun negeri ini merekodkan jumlah kes terbaharu yang tinggi hari ini.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, kes terbaharu yang direkodkan itu melibatkan kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) dan kadar itu dijangka akan berkurangan selepas beberapa usaha dilaksanakan bagi mengurangkan risiko perebakan wabak berkenaan.

Menurutnya, antara usaha diambil bagi mengurangkan risiko jangkitan adalah pelaksanaan Program Isolasi Pekerja Kargo Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) melibatkan saringan seramai 247 pekerja warga asing menerusi siri pertama sebelum ini.

"Seramai 9,056 pekerja (warganegara dan bukan warganegara) iaitu sebanyak 82 peratus menjalani ujian saringan Covid-19 sejak Oktober 2020 sehingga hari ini.

"Hanya tujuh kes positif dikesan sejak 26 November lalu dalam kalangan pekerja kargo dan semuanya adalah warganegara," katanya dalam satu kenyataan media selepas sidang khas Majlis Keselamatan Negeri (MKN) Selangor kali ke-14 di sini hari ini.

Sebelum ini, Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob turut mengumumkan pelaksanaan Program Isolasi Pekerja Kargo KLIA selama 14 hari bermula 26 November hingga 9 Disember.

Dalam pada itu, Amirudin berkata, kerajaan Selangor turut membuat ketetapan bagi mengarahkan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah untuk membuat penyelarasan bersama pihak berkuasa tempatan (PBT) dan Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) supaya saringan pekerja asing dilakukan segera seperti diputuskan kerajaan Persekutuan.

"Kerajaan negeri juga sedang mengenal pasti empat hingga lima lokaliti bagi menempatkan Pusat Rawatan dan Kuarantin Berisiko Rendah yang akan menempatkan pesakit positif Covid-19 tidak bergejala.

Artikel Berkaitan:

"Ini dilaksanakan bagi mengurangkan bebanan dan kepadatan hospital Covid-19 sedia ada," katanya.

Katanya, semua langkah yang diusahakan itu diharap dapat terus memperlihatkan komitmen serius kerajaan negeri dalam mengawal penularan wabak berkenaan.