Trauma setiap kali hujan lebat

Saipolyazan (dua dari kanan) menyerahkan kunci rumah bantuan LZS kepada Azizah (tiga dari kanan) hari ini.
Saipolyazan (dua dari kanan) menyerahkan kunci rumah bantuan LZS kepada Azizah (tiga dari kanan) hari ini.
A
A
A

TANJONG KARANG - Seorang ibu tunggal bersyukur apabila mendapat rumah bantuan Lembaga Zakat Selangor (LZS) bernilai kira-kira RM90,000 selepas kediamannya di Blok P, Sawah Sempadan di sini ranap dan rosak teruk akibat dihempap pokok pulai, 14 Julai lalu.

Azizah Ahmad, 52, berkata, kejadian itu menyebabkan dia dan dua anaknya berusia 13 serta 22 tahun yang menetap di situ hilang tempat tinggal hingga terpaksa menyewa sebuah inap desa di kampung berhampiran.

Menurutnya, semua urusan pembayaran sewa sepanjang menginap di inap desa itu sebanyak RM400 sebulan ditanggung sepenuhnya LZS.

"Peristiwa ini masih lagi terngiang-ngiang di telinga apabila bunyi zink berdentum dengan kuat akibat ditimpa pokok besar.

"Sehingga kini, saya masih trauma setiap kali hujan lebat dan angin kencang serta berdoa peristiwa itu tidak kembali berulang," katanya.

Dalam pada itu Azizah berkata, kediaman peninggalan arwah suami berusia 60 tahun itu meninggalkan banyak kenangan buatnya sekeluarga dan mengakui kejadian itu turut memang beri kesan kepadanya.

Katanya, rumah sumbangan LZS itu sangat bermakna dalam hidupnya kerana mahu meneruskan kehidupan di rumah baharu.

"Bagi saya, biarlah buruk atau bumbung bocor sekali pun, tapi kita anak beranak duduk di rumah sendiri.

Artikel Berkaitan:

"Alhamdulillah hari ini LZS sudah serahkan kunci untuk kami hidup dengan lebih selesa," katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif LZS, Saipolyazan M Yusop berkata, pihaknya berharap keluarga terbabit lebih ceria dan membina hidup baharu.

Katanya, selain Aziza, pihaknya turut menyerahkan dua lagi kunci rumah baharu kepada penerima di sekitar Tanjong Karang iaitu Masjaliah Johari, 43, di Kampung Sungai Tengi Kanan dan Marseyamah Sijono, 68, di Kampung Sungai Burong.

"Kita telah memperuntukkan RM100 juta bagi pembinaan rumah baharu sejak tahun 2010. Selain itu, LZS turut memperuntukkan sebanyak RM50 juta bagi kerja-kerja baik pulih kerosakan rumah seperti lantai, bumbung dan dapur," katanya.